Murid tiada dokumen kewarganegaraan, KPM cari jalan penyelesaian

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan pertemuan dengan keluarga murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan yang diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Dis lepas itu bertujuan mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid berkenaan meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.

“Pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah. Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” menurut kenyataan itu.

KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara selain selari dengan agenda pendidikan manusiawi iaitu memastikan tiada murid yang tercicir.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai tidak dapat meneruskan darjah empat pada Mac ini kerana isu dokumentasi kewarganegaraan berikutan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2013.

Murid itu sebelum ini bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang dan disebabkan tidak mempunyai kewarganegaraan, keluarganya perlu membayar RM120 setiap tahun untuk bersekolah, namun pihak sekolah memberitahu kanak-kanak itu tidak dapat meneruskan persekolahan pada sesi pembukaan sekolah Mac ini disebabkan oleh dasar baharu KPM.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

718
Kongsi :
Previous post Lori ais terbabas, pemandu maut
Next post PETRONAS Penapisan Melaka pemangkin pembangunan ekonomi, komuniti Melaka
Ubah saiz-+=