PETRONAS Penapisan Melaka pemangkin pembangunan ekonomi, komuniti Melaka

Masa Membaca:3 Minit, 28 Saat

SUNGAI UDANG 3  Januari – Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) atau lebih dikenali sebagai PETRONAS Penapisan Melaka mahu kehadiran mereka di bumi Hang Tuah ini memberikan manfaat kepada pembangunan ekonomi tempatan, selain membantu meningkatkan kualiti kehidupan orang ramai menerusi polisi mesra komuniti yang diamalkan.

Sejak mula beroperasi pada 1994, MRCSB tidak hanya memberi tumpuan kepada aktiviti ekonomi dan menjadi antara nadi pembangunan Melaka, sebaliknya aktif dalam melaksanakan program impak sosial dengan mendekati komuniti setempat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB, Ahmad Farid Yaacob berkata, pihaknya melaksanakan program impak sosial berdasarkan tiga bidang tumpuan PETRONAS iaitu Memacu Kehidupan, Menyemai Masa Hadapan dan Memperkasakan Ilmu dalam memberi keutamaan kepada penduduk sekitar.

“Selain berperanan sebagai loji penapisan minyak yang memproses sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari, MRCSB juga amat peka dan cakna terhadap kebajikan penduduk sekitar, kami turun padang untuk dekati mereka menerusi pelbagai aktiviti impak sosial yang diatur.

“MRCSB aktif melaksanakan program impak sosial terutamanya setiap kali menjelang musim-musim perayaan kepada mereka yang memerlukan.

“Antara aktiviti yang kerap dijalankan adalah program gotong-royong, yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan kontraktor MRCSB,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, baru-baru ini.

Whatsapp Image 2024 01 03 At 13.26.51 8a4f64a9
AHMAD Farid

Ahmad Farid berkata, MRCSB secara tidak langsung turut memainkan peranan dalam membantu sektor pelancongan Melaka menerusi aktiviti impak sosial penjagaan alam sekitar berikutan lokasi loji penapisan mereka yang berhampiran lokasi tumpuan ramai.

BUKA PELUANG KERJAYA UNTUK ANAK MELAKA

Selepas hampir tiga dekad beroperasi, MRCSB sudah banyak memberikan peluang pekerjaan kepada anak jati Negeri Melaka, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Ahmad Farid berkata, setakat ini syarikat berkenaan mempunyai seramai 1,100 kakitangan dengan 28 peratus daripada jumlah itu adalah anak jati Negeri Melaka.

“Seperti yang kami kongsikan semasa lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, ke loji penapisan kami April lalu, kakitangan membabitkan anak tempatan Melaka lebih kurang 26 peratus sahaja, namun baru-baru ini saya dimaklumkan sudah meningkat kepada 28 peratus.

“Ketua Menteri sendiri berkongsi yang mana sasaran penglibatan anak-anak Melaka dalam bidang minyak dan gas adalah 20 peratus, ini bermakna kita sudah melebihi sasaran yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Selain tenaga mahir yang bekerja dengan MRCSB, kami amat menggalakkan anak Melaka untuk berkhidmat bersama syarikat kontraktor menjalankan penyelenggaraan di loji kami, di sini.

“Penyelenggaraan berkala yang bakal dijalankan selepas ini adalah Turnaround 2024 pada bulan Januari, ia akan melibatkan rakan-rakan kontraktor utama kami dan syarikat-syarikat subkontraktor di mana purata penglibatan anak Melaka adalah sebanyak 40 peratus,” katanya.

MRCSB TEPATI PIAWAIAN JABATAN ALAM SEKITAR

Jelas beliau, MRCSB juga amat peka dan tidak sesekali mengabaikan alam sekitar, selaras dengan pengoperasian loji mereka yang sentiasa menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, selain loji kilang penapisan direka bentuk dengan susun atur peralatan yang kompleks dan memiliki keupayaan memproses minyak mentah serta menghasilkan produk berkualiti, kemudahan berteknologi tinggi itu juga menepati piawaian bahan api bersih.

“Keupayaan ini meletakkan loji MRCSB berada di kedudukan yang sangat kompetitif daripada sudut lokasi, susun atur dan kos operasi yang mampu menampung seramai 1,100 kakitangan tersebut.

“Kedudukan loji ini berdekatan dengan Pantai Puteri iaitu kawasan tumpuan pelancong, maka menjadi tanggungjawab MRCSB bagi memastikan pembuangan air sisa terawat ataupun ‘treated effluent’ ke dalam laut tidak mengundang pencemaran alam.

“Tanggungjawab kami dalam menjaga alam sekitar ini mengikut ketetapan atau peraturan JAS yang menepati standard piawaian daripada segi bahan-bahan yang perlu dirawat sebelum ia dilepaskan ke lautan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 01 03 At 13.26.51 22f30aac
MRCSB atau lebih dikenali sebagai PETRONAS Penapisan Melaka yang terletak di Sungai Udang.

MELAKA ENERGY PARK

Selari dengan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), MRCSB akan membawa konsep baharu yang dikenali sebagai Melaka Energy Park (MEP) atau Taman Tenaga Melaka pada tahun hadapan.

Menurut Ahmad Farid, pembaharuan konsep itu bakal dilancar sekitar bulan Mei tahun hadapan yang menekankan konsep-konsep kelestarian, selari dengan pendekatan PETRONAS sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampan.

“Konsep MEP atau Taman Tenaga Melaka dizahirkan berdasarkan beberapa aspek seperti susun atur loji yang kompleks, kepelbagaian teknologi serta proses dan peralatan canggih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1749
Kongsi :
Previous post Murid tiada dokumen kewarganegaraan, KPM cari jalan penyelesaian
Next post Larian gamit semangat bola sepak Melaka
Ubah saiz-+=