MUSA umum kepimpinan baharu 2020-2023

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 20 Dis. – Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) telah mengumumkan kepimpinan baharu badan induk itu bagi tahun 2020-2023.

Pengumuman itu dibuat selepas selesai Kongres MUSA ke-65 yang dihadiri seramai 85 perwakilan di Hotel Hatten, di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali kekal menjawat jawatan Presiden MUSA walaupun sebelum ini timbul desas-desus jawatan tersebut bakal diberikan kepada Datuk Seri Utama Idris Haron.

Menurut perlembagaan, jawatan Presiden MUSA secara automatik disandang Ketua Menteri dan jawatan tersebut tidak akan dipertandingkan, namun presiden berhak menamakan sesiapa sahaja yang layak untuk menduduki kerusi nombor satu itu.

Selain itu, jawatan Timbalan Presiden MUSA juga kekal menjadi milik Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selepas beliau tidak dicabar mana-mana pihak pada kongres kali ini.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan beberapa muka baharu dilantik menjawat jawatan berkenaan.

Antara muka baharu yang dilantik perwakilan ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Wira Sazali Muhd Din.

Jawatan tersebut juga turut disandang bekas Setiausaha Agung MUSA 2017-2018 Noor Azman Rahman, selain Datuk Khairi Anuar Ahmad yang dilantik semula menduduki kerusi berkenaan.

Sementara itu, Sulaiman turut mengumumkan Setiausaha Agung MUSA yang baharu iaitu Ahmad Roslee Hamzah.

Ahmad Roslee yang juga mantan Setiausaha Agung MUSA 2014-2016 dipilih menggantikan Mohd Asri Ninggal yang kembali ke posisi penolong jurulatih pasukan.

Turut diumumkan pelantikan Datuk Ab Latiff Abu Bakar sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu, manakala jawatan Bendahari Kehormat yang sebelum ini disandang Datuk Mohd Saiful Mat Sapri masih dikosongkan buat sementara waktu.

Kongres berkenaan turut melantik lapan ahli jawatankuasa bagi penggal 2020-2023.

Mereka yang dilantik ialah Razak Abu Hassan, Mohammad Azizi Shahril Abd Razak Khalim, Jezlee Pit, Muhamad Asyaarie Abdul Ghani, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, Jalil Dollah, Muhamad Razali Omar Othman dan Ridzuan Ahmad.

Terdahulu, Sulaiman dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu yang dilantik pada kongres kali ini.

Beliau turut berpesan kepada kepimpinan pemilihan kali ini untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab demi meneruskan kesinambungan kemajuan sola sepak Melaka untuk menggamit dunia.

“Kepada yang tidak membarisi jawatankuasa kali ini, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kerana mempunyai semangat untuk bersama-sama persatuan ini.

“Walaupun tidak terpilih, anda tetap sebahagian daripada keluarga MUSA dan kami sentiasa terbuka untuk menerima idea serta pandangan daripada ahli kelab-kelab gabungan demi bola sepak Negeri Melaka yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Sulaiman terima kejutan ucapan Hari Lahir dari Presiden FAM 
Next post Bajet kurang, tapi pemain mantap! 
Ubah saiz-+=