Muzium jadi produk baharu Kementerian Perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 16 Januari – Muzium-muzium di seluruh negara kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan bukan lagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia sekali gus menjadi antara tanggungjawab baharu kementeriannya dalam memastikan muzium terus relevan untuk menarik kehadiran pelancong.

“Kita tahu ada banyak muzium di negara ini dan saya difahamkan di Melaka sahaja ada 21 buah muzium.

“Jadi, perkara pertama ialah saya ingin tahu berapa peratus daripada pelancong yang datang ke negara ini akan berkunjung ke muzium.

“Jika jumlahnya terlalu kecil, perlu lihat semula apa yang perlu kita lakukan untuk menarik minat pelancong dan orang ramai.

“Ini penting bagi memastikan muzium kekal relevan dan dapat terus menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Menteri Perpaduan Negara bersama warga Kementerian dan Agensi Negeri Melaka Tahun 2023 dan lawatan ke Muzium Seni Bina Malaysia, Jalan Kota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Ab Aziz serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Sementara itu, Noridah ketika ditemui pemberita memaklumkan, Kementerian Perpaduan juga bertanggungjawab menjadikan muzium sebagai tempat meningkatkan jati diri rakyat Malaysia.

Katanya, ia berikutan muzium merupakan tempat untuk mempelajari sejarah, selain menerangkan mengenai permulaan peradaban yang dapat membantu memupuk semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2719
Kongsi :
Previous post 14 individu dipercayai sindiket edar dadah diberkas bersama dadah RM1.67 juta
Next post Pengasuh pusat jagaan didakwa aniaya kanak-kanak lima tahun
Ubah saiz-+=