Nadi ekonomi negeri

Masa Membaca:6 Minit, 28 Saat

Bahagian 1

Wawancara Khas bersama Ketua Menteri Melaka

SEBAIK sahaja Datuk Haji Sulaiman Md. Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Melaka ke-12 pada 9 Mac lalu, beliau terus mengatur gerak kerjanya bagi memastikan Melaka terus berada pada landasan yang betul. Dalam pertemuan dengan Melaka Hari Ini (MHI) baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu melahirkan iltizamnya untuk menjadikan negeri kelahirannya itu lebih berdaya maju dalam segala aspek. Beliau turut menyentuh beberapa isu termasuk ekonomi dan bekalan air. Berikut wawancara khas wakil MHI, A. Jalil Hamid dan Yusri Sahat bersama Ketua Menteri.

 

MHI:  Sejak membentuk kerajaan negeri pada 9 Mac lalu melalui kerjasama daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), Kerajaan Melaka menggariskan visi dan misi yang cukup jelas dengan hasrat menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri berdaya maju dan seimbang dari aspek duniawi serta ukhrawi. Sebagai permulaan, boleh YAB Datuk berkongsi misi dan visi YAB untuk membangunkan negeri Melaka?

Sulaiman: Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Editorial MHI yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Jalil bin Hamid yang hadir bagi sesi temuramah ini. Untuk pengetahuan anda, sejak mula membentuk Kerajaan Negeri Melaka pada 9 Mac lalu bersama-sama 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain di dalam Perikatan Nasional (PN), kerajaan negeri yang baharu ini mempunyai visi cukup jelas iaitu untuk menangani segala permasalahan dan pada masa sama menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri lebih maju dan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi.

Manakala misi Kerajaan Negeri Melaka pula terbahagi kepada lima iaitu:-

* Inisiatif pintar dan pemerkasaan data dalam agenda pembangunan negeri
* Membangunkan dan menyokong ekonomi rakyat tempatan menjadi berdaya maju
* Destinasi pelaburan berkonsepkan eko-industri, teknologi IR 4.0, perusahaan industri digital dan industri Maritim. Semua sedia maklum bahawa sejarah Melaka beratus tahun dahulu adalah         sebuah pusat perdagangan antarabangsa dan penyebaran agama Islam
* Industri pelancongan berkualiti, bertaraf dunia dan unik
* Negeri terbersih, terindah, selamat, selesa dan ekonomi untuk didiami

Bagi membolehkan Melaka kekal berdaya saing, berdaya maju, sudah tentulah pendigitalan perlu disegerakan. Penggunaan aplikasi pintar dan ‘data centric analysis’ perlu menjadi panduan dan hala tuju baharu kepada semua agensi terutama dalam sektor kerajaan, perindustrian dan sebagainya.

Negeri Melaka perlu mengorak langkah ke arah penyelesaian masalah secara tuntas termasuk isu-isu seperti kesesakan jalan raya terutama ketika di hujung minggu memandangkan ramai pelancong yang datang ke negeri ini.

Selain itu kualiti penyelenggaraan, rantaian bekalan makanan mencukupi, isu harga bahan mentah, makanan, barangan dan perkhidmatan, masalah bekalan air dan perkhidmatan sokongan kepada masyarakat, kebersihan, keselamatan, masalah banjir, kualiti rangkaian internet dan telekomunikasi dan lain-lain lagi juga perlu dititikberatkan.

Selain itu, daya saing juga perlu ditingkatkan bagi menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan bagi perniagaan, pelancongan dan pelaburan utama sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat yang menetap di negeri ini.

MHI: Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri Melaka. Apakah yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri bagi terus memperkasakan sektor-sektor tersebut?

Sulaiman: Kerajaan negeri sedar bahawa sektor perkhidmatan termasuk pelancongan adalah penyumbang KDNK negeri tertinggi iaitu sebanyak 46.6% manakala sektor pembuatan pula menyumbang kedua tertinggi kepada KDNK negeri sebanyak 38.6%.

Kedua-dua sektor ekonomi ini banyak mempengaruhi iaitu 85.2% daripada keseluruhan ekonomi negeri Melaka. Bagaimanapun, sektor lain khususnya pertanian juga antara penyumbang kepada KDNK negeri.

Justeru, menyedari kepentingan bagi menyokong sektor-sektor ekonomi ini kepada rakyat negeri Melaka, kerajaan negeri akan melaksanakan langkah-langkah bagi menyokong sektor-sektor tersebut untuk terus beroperasi dan berkembang dalam suasana norma baharu semasa musim pandemik Covid-19 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kerajaan negeri juga sedang meneliti data pengangguran dan pemberhentian pekerja sepertimana kita tahu Melaka sebuah negeri pelancongan dan kita bimbang akan berlakunya pengurangan tenaga kerja ini.

Jadi, kerajaan negeri melalui Jabatan Perangkaan sedang meneliti semua data sama ada berhenti secara sukarela mahupun yang diberhentikan atau mereka yang diberi peluang bekerja tapi mengikut gaji harian.

Dari situ, kerajaan negeri sedang meneliti data-data ini dan melihat apakah cara yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka nanti.

Bagi tujuan memperkasa sektor-sektor ekonomi di Melaka, kerajaan akan terus berusaha mempercepatkan usaha ke arah menyokong pendigitalan Melaka.

Kerajaan juga akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan golongan peniaga serta industri dengan berusaha mewujudkan fasiliti berkualiti, menyelesaikan masalah banjir kilat serta masalah kesesakan jalan raya di Melaka ini selain mengambil pendekatan untuk meneliti semula perancangan bagi keseluruhan negeri Melaka yang bertujuan mengimbangi dan merancakkan semula semua sektor ekonomi yang mencakupi keseluruhan negeri.

MHI: Bagaimana pula langkah-langkah jangka panjang yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengatasi kemelut isu air di negeri ini?

Sulaiman: Melaka sebenarnya seperti yang kita tahu tidak mempunyai sumber air semulajadi. Melaka tidak seperti negeri lain, contohnya Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. Kita tidak mempunyai sungai-sungai besar yang boleh digunakan untuk menampung bekalan air. Kita terpaksa mengambil air dari Sungai Muar dan perlu pam masuk ke kolam tadahan.

Untuk jangkamasa pendek dan sederhana, beberapa kajian telah kita buat berdasarkan krisis air baru-baru ini. Buat masa sekarang, ada beberapa projek telah kita mohon dan mendapat kelulusan contohnya Empangan Sungai Jerneh dan kita juga ada dua lagi projek bernilai RM300 juta yang telah diluluskan iaitu projek Off River Storage (ORS).

Salah satu projek ORS ialah mengambil air dari Sungai Kesang ke Tasik Biru dan kemudiannya akan terus ditarik ke Empangan Durian Tunggal. Satu lagi projek ORS yang diluluskan daripada peruntukan RM300 juta itu akan kita gunakan untuk menyalurkan air dari Tasik Biru terus ke Empangan Jus.

Selain itu, kita sedang mengkaji kemungkinan membangunkan satu projek ‘Coastal Reservoir’ atau Empangan Pesisir Pantai yang boleh kita bangunkan di kawasan pesisir pantai di Melaka. Kita percaya projek Coastal Reservoir ini amat penting untuk menampung bekalan air di masa akan datang.

Sebenarnya, banyak lagi cadangan sudah kita fikirkan dan kajian jangkamasa panjang juga sedang kita buat kerana kita tidak mahu lagi Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan dan industri yang sedang membangun terjejas dengan masalah-masalah air.

Dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan sahaja kita ada lebih 400 pengilang yang sudah lama ada yang mana mereka juga memerlukan air. Air amat penting bukan sahaja kepada manusia tetapi begitu juga kepada hotel-hotel dan kawasan industri. Jadi, sudah pastilah saya dan kumpulan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan masalah air di Melaka dapat diatasi.

MHI: Berapakah kenaikan peratusan permintaan air dan peratusan bekalan air di Melaka setiap tahun?

Sulaiman: Setakat hari ini saya tidak mempunyai data yang lengkap mengenai perkara itu tetapi ingin saya beritahu bahawa di Melaka selain daripada air yang kita ambil daripada Sungai Gersik ini, kalau full strength kita pump in sebanyak 220 juta liter.

Manakala melalui Empangan atau Sungai Melaka kapasiti yang boleh kita pump in air untuk masuk ke bundle storage (air yang kita guna pakai) lebih kurang 60 juta liter sehari. Itu merupakan jumlah yang boleh kita hasilkan setiap hari.

Jadi kalau dicampur kedua-duanya, ia akan menjadi 280 juta liter yang dapat kita hasilkan sehari.
Tetapi tahukah bahawa kita sebenarnya memerlukan lebih kurang 650 juta liter sehari untuk kita salurkan air kepada pengguna yang ada termasuklah sektor industri dan sektor-sektor lain. Jadi, kita ada short fall (pengurangan) lebih kurang 380 juta liter untuk sehari.

Sebab itulah kolam-kolam tadahan yang kita ada ini perlu kita penuhkan secepat mungkin memandangkan Melaka mempunyai dua pusingan musim kemarau.

Yang pertama, telah kita hadapi awal tahun ini dan yang kedua dijangka akan menanti kita pada Julai hingga September. Bagaimanapun, Alhamdulillah, kolam-kolam tadahan yang kita ada pada hari ini seperti Empangan Durian Tunggal sudah mencapai 80 peratus air.

Namun, kita masih mengharapkan lagi hujan turut sehingga sebelum Julai nanti supaya kita dapat memenuhi semua kolam-kolam tadahan dan dapat menghadapi musim kemarau tanpa berlakunya kekurangan air.

Bahagian kedua minggu hadapan Ketua Menteri akan mengupas isu perumahan dan pelancongan selain berkongsi mengenai projek HSR.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Kesan Covid-19 kepada ekonomi global
Next post Mayat wanita warga emas ditemui terapung berhampiran Jambatan Malim
Ubah saiz-+=