Kesan Covid-19 kepada ekonomi global

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

 

oleh: Mohd Shukri Mahadi
Penganalisis pelaburan

BAGAIMANAKAH pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi dunia sehingga banyak negara yang tersungkur?

Jawapannya ialah kerana cara merebak virus ini yang perlu ditangani secara “social distancing” atau penjarakkan sosial.

Langkah inilah yang menyebabkan `lockdown’ kepada aktiviti manusia dan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.

Masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah, penutupan institusi perbankan, penutupan pejabat, penutupan premis perniagaan, larangan penerbangan, sekolah tidak dibuka dan pelbagai lagi.

Pendek kata aktiviti manusia terhenti serta merta.

 

Latarbelakang

Sememangnya pada 2019 lagi ketidaktentuan ekonomi telah wujud akibat daripada `trade war’ antara Amerika Syarikat dan China.

Perang dagang yang berterusan sejak 2018 itu yang menggunakan tarif sebagai senjata utama telah memberi kesan kepada `emerging countries’ (negara membangun) seperti Thailand, Malaysia, Indonesia, Brazil dan Mexico yang merupakan rakan dagang utama antara kedua-dua kuasa ekonomi itu.

Kemudian pada akhir 2019, penularan wabak virus SARS-COV-2 kemudian dikenali sebagai Covid-19 secara tidak disangka-sangka telah menjadi pandemik apabila virus ini mula menjangkiti di luar wilayah Wuhan, China sebelum merebak ke seluruh dunia.

Ketika artikel ini ditulis, statistik menunjukkan lebih 7 juta orang dijangkiti Covid-19 dan 400 ribu orang mati akibat dari wabak ini.

Sumber: WHO

 

Pandemik

Pada 12 Mac 2020, World Health Organisation (WHO) secara rasmi mengumumkan bahawa wabak Covid-19 adalah pandemik apabila 118,000 orang dijangkiti di 110 buah negara di seluruh dunia.

Pengumuman WHO ini membuatkan para pelabur bertindak membuat jualan panik di seluruh dunia. Pasaran saham global jatuh merudum serta merta dan menyebabkan kerugian US$6 trillion hanya dalam masa satu minggu. Indeks S&P500 jatuh (36%) dengan kerugian hampir USD5 trillion. Manakala Bursa Malaysia jatuh (22.5%)

Carta Indeks S&P500 Futures Sumber Yahoo Finance

Carta Indeks KLSE Sumber Yahoo Finance

 

Kemelesatan Ekonomi

Oleh kerana hampir seluruh dunia melaksanakan dasar `stay at home’ atau tinggal di rumah, maka secara tidak langsung ia mengakibatkan benih kemelesatan ekonomi global.

International Monetary Fund (IMF) membuat unjuran bahawa kemelesetan ekonomi kali ini akan sama seperti krisis kewangan global tahun 2007 – 2008.

Dalam sejarah moden 100 tahun, ini kali pertama kemelesatan ekonomi disebabkan oleh wabak penyakit.

Krisis 2007 disebabkan oleh kelemahan dalam pengurusan polisi kewangan. Krisis 1997 disebabkan oleh keruntuhan matawang Thai Bhat. Krisis 2010 disebabkan oleh masalah ekonomi Greece.

 

Melihat ke hadapan

Pemulihan ekonomi dijangka perlahan walaupun kebanyakan negara, negeri dan bandar telah mula beroperasi sedikit demi sedikit dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Akhirnya ia bergantung kepada keyakinan pengguna untuk meneruskan aktiviti kehidupan norma baru dan keyakinan untuk berbelanja.

Rantaian ekonomi hanya mampu berpusing apabila pengguna kembali kepada rutin sebelum terjadinya wabak Covid-19.

Adalah sukar untuk meramalkan bila keadaan akan kembali normal selagi vaksin bagi melawan virus Covid-19 tidak ditemui.

Vaksin pada kebiasaanya mengambil masa bertahun-tahun untuk benar-benar selamat digunakan oleh manusia.

Mengikut Dr Antoni Fauci (Director of the National Institute of Allergy and Infectious Disease), beliau menjangkakan kemungkinan vaksin boleh mula dihasilkan pada suku pertama 2021.

Sehingga itu, kita harus terus amalkan penjagaan kebersihan diri, penjarakkan sosial.

Kita jaga kita.

Views:

1619
Kongsi :
Previous post Sri Pengkalan Binaan (SPB Property) Taman Nuri raih Qlassic kualiti skor tertinggi di Melaka
Next post Nadi ekonomi negeri
Ubah saiz-+=