Naik taraf karpet Masjid Cina

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 28 Disember – Pihak pengurusan Masjid Cina Negeri Melaka (Al- Muttaqin), Krubong, kini dalam proses untuk menggantikan kemudahan karpet di dewan solat kepada yang baharu selepas 10 tahun digunakan.

Imam I masjid berkenaan, Suhairi Yunos berkata, karpet sedia ada digunakan sejak Masjid Cina mula dibuka kepada orang ramai pada 2014.

Katanya, bagi tujuan itu pihaknya membuat hebahan untuk mengumpul infak daripada orang ramai atau mana-mana pihak yang sudi untuk menjayakan perancangan berkenaan, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada jemaah melakukan ibadat.

“Cadangan menggantikan karpet kepada yang baharu bukan sahaja untuk keselesaan tetapi mengambil kira aspek masjid ini sendiri yang juga antara lokasi persinggahan pengunjung dan merupakan produk pelancong Negeri Melaka.

“Setakat ini kami berjaya mengumpul sebanyak RM30,000 hasil daripada infak pelbagai pihak dan memerlukan RM90,000 lagi untuk mencukupkan kos bagi menggantikan karpet ini yang dianggarkan memakan kos RM120,000,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut Suhairi berkata, karpet sedia ada masih elok, namun sudah terlalu lama dan semakin menipis.

“Jika sudah ditukar baharu karpet lama akan diwakafkan ke surau berhampiran atau kita bercadang untuk diletakkan di kiri kanan masjid ini.

“Saya harap sebelum atau pada Ramadan 2024, kita dapat kemudahan karpet baharu di ruang solat utama Masjid Cina yang merupakan masjid ikonik Negeri Melaka.

“Jadi saya harap jika ada mana-mana dermawan atau sesiapa yang berminat untuk mewakafkan karpet atau memberi sumbangan boleh menghubungi saya atau salurkan sumbangan ke nombor akaun 04042010006123 Bank Islam atas nama Masjid Cina Negeri Melaka,” katanya.

Masjid Cina tersebut boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah dalam ruang utama solat dan 2,000 jemaah dalam satu masa di masjid tersebut.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

931
Kongsi :
Previous post Penunggang basikal maut dirempuh kereta
Next post Ketatkan pemantauan, tingkat keselamatan di asrama mualaf – Exco
Ubah saiz-+=