Penunggang basikal maut dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KLEBANG 28 Disember – Seorang lelaki maut selepas basikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Klebang Besar awal pagi tadi.

Mangsa, Foo Seck Sim, 44 maut di lokasi kejadian akibat parah selepas tercampak di atas jalan raya akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Mazda 3 iaitu seorang wanita berusia 34 tahun dalam perjalanan pulang dari Jonker Walk menghala ke Duyong manakala mangsa dalam perjalanan menghala ke Klebang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu wanita berkenaan yang tidak nampak mangsa atas faktor keadaan gelap terlanggar mangsa dari arah belakang.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Pemandu terbabit yang cemas dengan keadaan itu meneruskan pemanduan kira-kira 500 meter ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan diambil terhadap wanita berkenaan termasuk merakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan usaha mengesan waris mangsa sedang dijalankan.

“Notis Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4882
Kongsi :
Previous post Lelaki warga Singapura hilang dipukul ombak, ditemukan lemas
Next post Naik taraf karpet Masjid Cina
Ubah saiz-+=