
PRN MELAKA: RIDZUAN SEDIA ‘INFAK’ DIRI UNTUK BUKIT KATIL
AYER MOLEK 6 November – Pendekatan berjumpa empat mata dengan pengundi dari pintu ke pintu menjadi strategi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil, Ridzuan Sarif sepanjang kempenΒ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Katanya, tempoh dua minggu yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti turun padang bagi menyantuni masyarakat di DUN Bukit Katil yang dianggap penting bagi memperkenalkan diri sebagai calon.
“Saya akan masuk ke semua lorong perumahan, masjid, surau dan kedai makan kerana inilah peluang untuk berinteraksi dengan rakyat terutamanya pengundi muda yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada 14 November nanti.
“Walaupun momentum kempen ketika ini baik, kita tidak boleh terlalu selesa dan akan terus melangsungkan segala usaha serta meneruskan jadual kempen setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di Taman Tambak Paya Harmoni, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ridzuan yang juga calon nombor 2 DUN Bukit Katil berkata, pengalaman hampir 20 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menjadi bekalan penting untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat, khususnya penduduk Bukit Katil.
Katanya, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya diberi mandat oleh pengundi.
“Saya akan teruskan khidmat ini tanpa mengenal erti penat lelah dan sebagainya. Saya infakkan diri saya untuk membantu seluruh pengundi dan penduduk Bukit Katil, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

