
PRN MELAKA: 80 PERATUS ISU BANJIR DUN AYER LIMAU BERJAYA DITANGANI – HAMEED
AYER LIMAU 5 November – Lebih 600 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Ayer Limau terjejas akibat banjir besar yang melanda kawasan itu pada 2021, menjadikan usaha menangani bencana itu sebagai keutamaan pembangunan setempat sepanjang tempoh pentadbiran penyandang kerusi DUN itu Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Limau itu berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira sebulan selepas beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka pada tahun sama.
Hameed yang juga calon nombor 2 DUN Ayer Limau berkata, ia sekali gus memberi gambaran jelas mengenai keperluan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir di kawasan yang diwakilinya itu.
“Pengalaman berdepan bencana itu mendorong saya memberi perhatian khusus kepada usaha mengurangkan risiko banjir menerusi pelbagai pendekatan yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Isu paling utama yang saya lihat di Ayer Limau ialah banjir. Sebulan selepas saya menjadi Exco pada 2021, berlaku banjir besar melibatkan lebih 600 rumah.
“Sebab itu, selama hampir lima tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengatasi isu banjir ini dan hasil pelaksanaan pelbagai usaha inilah saya boleh anggarkan hampir 80 peratus masalah banjir berjaya ditangani, meskipun beberapa kawasan masih memerlukan tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui untuk berkongsi perkembangan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Warung Nek Jah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk penambahbaikan sistem saliran di kawasan dikenal pasti kerap mengalami masalah limpahan air bagi memastikan aliran air lebih lancar ketika hujan lebat.
“Masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan perhatian lanjut dan penyelesaian lebih menyeluruh supaya risiko kejadian banjir dapat terus dikurangkan, khususnya ketika berdepan hujan lebat berpanjangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


