
PRN MELAKA: BN PERINCI GERAK KERJA PDM, SASAR PENGUNDI KELUAR AWAL
REMBIA 5 November – Barisan Nasional (BN) Melaka memperkemas strategi gerak kerja jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan memberi penekanan kepada penyelarasan pergerakan petugas bagi memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap gerak kerja perlu diteliti dan diperincikan lebih awal bagi memastikan kelancaran operasi, khususnya dalam usaha menggalakkan pengundi yang dikenal pasti menyokong parti itu keluar mengundi lebih awal.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berkata, arahan lebih terperinci kepada jentera di peringkat PDM penting bagi memastikan semua petugas memahami peranan masing-masing serta bersedia melaksanakan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Penyelarasan ini juga bertujuan memastikan pergerakan jentera lebih tersusun dan tidak berlaku sebarang keciciran dalam usaha menggerakkan pengundi.
“Jadi nampak pergerakan di peringkat PDM akan lebih teratur dengan arahan yang diberikan ini supaya semua petugas yang akan bertugas pada hari pengundian bersedia untuk bergerak seawal yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke Bilik Gerakan DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan; Calon BN DUN Rembia Ahmad Norazril Abd Aziz dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata sebanyak tujuh PDM dalam DUN Rembia akan digerakkan untuk mendekati pengundi dan menyusun gerak kerja kempen dalam kawasan tersebut.
“Kesiapsiagaan jentera dan keberkesanan penyelarasan di peringkat akar umbi menjadi antara aspek penting dalam memastikan sokongan pengundi diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian 14 November ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


