MOMENTUM GELOMBANG BIRU BANTU BN RAMPAS SEMULA PARLIMEN ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

GADEK 5 November – Barisan Nasional (BN) menyasarkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sebagai permulaan mengembalikan penguasaan parti itu di peringkat Parlimen terutamanya Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu tidak mustahil kerana sokongan rakyat kini dilihat kembali semula kepada parti itu menerusi ‘gelombang biru’ pada dua PRN sebelum ini iaitu di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kemenangan pada 14 November ini penting kerana diibaratkan sebagai jambatan untuk BN kembali menguasai Seri Negeri, seterusnya membuka laluan ke Putrajaya.

“Hari ini kita telah melihat gelombang biru sudah melanda Johor dan Negeri Sembilan, sekarang gelombang biru melanda Melaka.

“Bermula di DUN Gadek kita pastikan selepas ini kita menang dan apa yang penting pada 14 November ini, kita bina satu jambatan untuk menuju ke Seri Negeri seterusnya membina jambatan ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah; Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan calon BN DUN Gadek S Nadarajah.

Menurut Ab Rauf, kesepakatan antara parti komponen BN juga menjadi kekuatan untuk terus melebarkan pengaruh ke peringkat Parlimen.

“Kita tewas di Parlimen Alor Gajah pada PRU lepas tetapi kali ini selepas PRN, Parlimen Alor Gajah akan kembali membiru bersama UMNO. Kita buktikan kita kuat, hebat dan pastinya kita akan membina jambatan baharu menuju Putrajaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post MAIM BANTU TAMBAH BEKALAN DARAH NEGARA
Next post PRN MELAKA: BALAI BOMBA, PAIP LAMA ANTARA AGENDA ‘ALONG’ UNTUK ASAHAN