PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN GADEK KEKAL BIRU

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

GADEK 5 November – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 Gadek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berdasarkan kesiapsiagaan jentera parti serta penerimaan pengundi terhadap calon yang diketengahkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan mendapati gerak kerja jentera pilihan raya di DUN Gadek dilaksanakan secara tersusun selain dirancang rapi bagi menghadapi baki hari tempoh berkempen.

Ab Rauf berkata, kempen BN di kawasan itu juga berjalan dalam suasana baik tanpa melibatkan unsur politik kebencian, hasutan, fitnah atau serangan peribadi terhadap pihak lawan.

“Saya melihat penyelarasan gerak kerja menghadapi PRN khususnya di DUN Gadek ini berada dalam keadaan terancang dan teratur.

“Kita berkempen dengan apa yang telak kita lakukan untuk rakyat misalnya menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) selain menyantuni segala masalah yang berada dalam DUN Gadek. Alhamdulillah penduduk juga telah menerima calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke PDM DUN Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.

Menurut Ab Rauf, komitmen jentera parti termasuk pasukan bapa angkat yang digerakkan dari luar Melaka turut menjadi kekuatan dalam memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.

“Saya melihat semua jentera termasuk bapa angkat yang datang daripada luar Melaka juga bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Gadek.

“Saya ingatkan juga pandang ringan (parti lawan) sebaliknya dapatkan seberapa banyak pengundi dan teruskan mengundi,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, BN meletakkan calon baharu S. Nadarajah yang mewakili MIC untuk mempertahankan DUN Gadek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

299
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TIADA MANIFESTO, HELMY PERTARUH BUKTI KERJA LIMA TAHUN
Next post DUN GADEK SIMBOL PENYATUAN, TERJEMAHAN KESEPAKATAN BN-PN