DUN GADEK SIMBOL PENYATUAN, TERJEMAHAN KESEPAKATAN BN-PN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

GADEK 5 November – Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek disifatkan sebagai simbol penyatuan dan kesepakatan Barisan Nasional (BN) di Melaka, khusus menerusi kerjasama politik antara parti komponen dan rakan strategik gabungan itu.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, DUN Gadek menjadi contoh keberkesanan penyatuan gerak kerja BN apabila calon MIC yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu itu mendapat penerimaan baik dalam kalangan penduduk tempatan.

Katanya, DUN Gadek juga merupakan satu-satunya kerusi yang ditandingi MIC di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, sekali gus memperlihatkan keyakinan terhadap kesepakatan dalam gabungan berkenaan.

“Kalau kita lihat ini satu-satunya kerusi yang pengundinya adalah majoriti orang Melayu tetapi ditandingi oleh MIC. Ini menunjukkan keberkesanan, kesatuan dan kesepakatan, gerak kerja bersama rakan strategik.

“Semua ini diterjemahkan untuk memastikan contoh kesepakatan yang baik ialah datang daripada DUN Gadek,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah; Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan calon BN DUN Gadek S Nadarajah.

Ab Rauf berkata, penerimaan masyarakat terhadap calon MIC di kawasan berkenaan membuktikan kesatuan dalam BN mampu merentasi perbezaan kaum dan menjadi asas kepada kekuatan gabungan itu.

“Rakan kita dalam MIC dan MCA berada bersama dengan UMNO, meskipun kita ditimpa musibah mereka tidak lari, kekal dalam BN, menyokong kita untuk meneruskan perjuangkan ini,” katanya.

Jelas beliau, selepas Johor dan Negeri Sembilan, beliau yakin BN mampu terus menawan Melaka pada PRN Melaka Ke-16.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN GADEK KEKAL BIRU
Next post PRN MELAKA: BANTUAN AWAL PRA-PERSEKOLAHAN BUAT ANAK TELOK MAS