PRN MELAKA: BANTUAN AWAL PRA-PERSEKOLAHAN BUAT ANAK TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TELOK MAS 5 November – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, merancang menambah baik tiga hingga lima inisiatif senarai 10 Janji Razak bagi memperluas manfaat kebajikan dan meningkatkan keselesaan rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, penambahbaikan berkenaan akan memberi tumpuan kepada keperluan penduduk, khususnya membabitkan aspek kebajikan termasuk bantuan pendidikan awal bagi kanak-kanak yang bakal memulakan persekolahan peringkat tadika.

Abdul Razak yang juga calon nombor 2 kerusi DUN Telok Mas berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 lalu, dia menawarkan 10 janji kepada rakyat kawasan itu dan bersyukur kerana kesemuanya berjaya dilaksanakan.

“Bagi PRN Ke-16 saya akan lakukan penambahan dalam 10 Janji Razak demi keselesaan rakyat Telok Mas. Antaranya kita akan menyalurkan bantuan awal pra- persekolahan untuk anak-anak yang akan mula belajar di tadika.

“Sebelum ini kita sudah laksanakan tetapi membabitkan anak-anak tadika Kemas sahaja, selepas ini diperluaskan termasuk kepada murid tadika swasta,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan – Penyerahan Projek Di Telok Mas, di Balai Raya Tanjung Nibong, di sini, semalam.

Terdahulu, majlis disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal b Ahmad Natal.

Menurut Abdul Razak, perancangan penambahbaikan manisfesto yang juga kesinambungan 10 Janji Razak adalah bagi memastikan lebih banyak keperluan dan kebajikan penduduk DUN Telok Mas dapat diberi perhatian.

“Penambahbaikan yang dilakukan ini adalah demi rakyat kerana aspek kebajikan dan pendidikan menjadi keutamaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu Abdul Razak berkata, dibawah Program Jiwa Murni MADANI, sebanyak tiga projek diterima DUN Telok Mas dan kesemuanya sudah siap sepenuhnya.

“Pastinya terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana berjaya membawa projek ini ke DUN Telok Mas.

“Kesemua tiga projek ini membabitkan Balai Raya Tanjung Nibong, Balai Raya Tambak Bugis dan Surau Raja Haji Jeti Nelayan yang setiap satu bernilai kira-kira RM70,000 yang mana ia telah dilaksanakan sebelum berlakunya pembubaran DUN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post DUN GADEK SIMBOL PENYATUAN, TERJEMAHAN KESEPAKATAN BN-PN
Next post KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET MELAKA CECAH 98.8 PERATUS – AB RAUF