
USIA BUKAN PENGHALANG, TOK RAUF MAHU ANAK MUDA KEJAR CITA-CITA
TANJUNG BIDARA 5 November – Usia 65 tahun bukan penghalang buat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh untuk terus menimba ilmu dan berjaya menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berkongsi pengalaman membesar sebagai anak kampung, beliau berkata latar belakang kehidupan bukan alasan untuk seseorang mengehadkan cita-cita atau berhenti mengejar kejayaan.
Menurutnya, setiap individu perlu mempunyai aspirasi tinggi serta menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai amalan dalam usaha meningkatkan ilmu dan keupayaan diri.
“Saya mengingatkan golongan muda supaya tidak meletakkan batas terhadap kemampuan diri, sebaliknya berani menetapkan matlamat besar tanpa mengira dari mana mereka bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) N01 Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; calon BN N03 Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, calon BN N04 Lendu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid dan calon BN N05 Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Katanya, setiap anak muda mempunyai peluang untuk membina masa depan melalui pelbagai laluan pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan masing-masing.
“Sebab itu, sejak saya menerajui pentadbiran negeri, tekad saya bersama barisan kepimpinan negeri cukup jelas iaitu kita mahu lebih ramai anak Melaka menguasai ilmu, memimpin dalam bidang masing-masing dan menentukan arah masa depan negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


