
LEBIH 500 ANAK MUDA TEROKA PELUANG PENDIDIKAN BERSAMA MARA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 5 November – Lebih 500 anak muda menyertai Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah bagi meneroka peluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional, akademik dan teknikal.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, MARA menyediakan pelbagai laluan pendidikan menerusi institusi di bawah agensi itu, bermula daripada GiatMARA sehingga Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Katanya, kemudahan itu turut merangkumi Kolej Profesional MARA dan institusi TVET MARA yang memberi ruang kepada golongan muda memilih bidang pengajian serta kerjaya mengikut minat masing-masing.
“Kalau mahu jadi akauntan, mahu jadi doktor, persilakan kerana ruang ini juga disediakan oleh MARA.
“Kalau mahu jadi seorang jurutera ataupun seorang juruteknik, juga MARA telah menyediakan dalam semua ruang dalam kolej-kolej TVET MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.
Turut hadir Ketua Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; calon Barisan Nasional (BN) N01 Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN N03 Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan calon BN N05 Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Ab Rauf berkata, bimbingan dan kemudahan pendidikan disediakan MARA penting dalam melahirkan generasi Bumiputera berilmu serta mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi dan akademik.
“MARA ini melahirkan satu sifat tanggungjawab untuk melatih bumiputera jauh lebih ke hadapan dalam bidang teknologi, sama ada kemahiran tinggi ataupun separa kemahiran tinggi yang telah diwujudkan sejak sekian lama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


