
PRN MELAKA : DAKWAAN PENOLAKAN CALON BN DI 4 KERUSI MUNGKIN DICETUS MUSUH POLITIK
TANJUNG BIDARA 5 November – Segala pandangan berhubung dakwaan penolakan calon parti di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini akan diterima dan diteliti mengikut sudut sewajarnya, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, BN mempunyai semangat kemenangan (winning spirit) untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul serta melepasi cabaran berkenaan.
Menurutnya, setiap pandangan perlu dilihat berdasarkan pihak yang mengemukakannya, termasuk kemungkinan ia datang daripada musuh politik yang memberikan persepsi negatif.
“Kita kena terima semua pandangan ini. Tengok pada sudut mana yang datang. Kalau datang pada sudut musuh politik, pastinya dia akan memberikan satu pandangan yang negatif.
“Bagi saya, dalam winning spirit, kita akan selesaikan segala permasalahan ini dan kita pasti akan melepasi rintangan ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berlaku penolakan terhadap calon BN di empat kerusi DUN iaitu Kuala Linggi, Pantai Kundor, Klebang dan Ayer Molek.
Terdahulu Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.
Turut hadir Ketua Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Nurul Amirah Mohamad Yusof serta calon BN N01 Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah; N03 Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan N05 Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


