
PRN MELAKA: PEMBANGUNAN TVET JADI AGENDA MANIFESTO BN – TOK RAUF
TANJUNG BIDARA 5 November – Hasrat menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu bagi mengangkat kedudukan Melaka sebagai pusat utama pembangunan tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk memenuhi keperluan industri serta pelabur.
Katanya, Melaka mempunyai kelebihan menerusi kewujudan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diiktiraf sebagai universiti TVET pertama di Malaysia selain 67 kolej TVET yang berperanan melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
“Kemudahan pendidikan teknikal sedia ada itu perlu dimanfaatkan bagi memastikan bekalan sumber manusia di negeri ini seiring dengan keperluan pelabur yang memasuki Melaka.
“Maka pastinya saya akan mengambil kesempatan ini untuk menjadikan Melaka pusat TVET utama di Malaysia dalam manifesto saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah di Villa D’Aqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA Faisalludin Mohamat Yusuff dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim.
Turut hadir Ketua Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Nurul Amirah Mohamad Yusof serta calon BN N01 Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah;calon BN N03 Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan calon BN N05 Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Terdahulu, dalam ucapannya Ab Rauf berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memperkenalkan pilihan pendidikan tinggi dan TVET, malah memberi peluang kepada peserta mengenali bakat sendiri serta memilih laluan pengajian atau latihan yang bersesuaian.
“Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA serta seluruh pihak yang telah berganding bahu menjayakan program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


