NADARAJAH TEKAD JADI ‘SUARA’ GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 5 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, S Nadarajah bertekad mahu menjadi ‘suara’ penduduk dengan mengutamakan kebajikan serta usaha meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat sekiranya diberi mandat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MIC Melaka berkata, keperluan golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal antara perkara yang mendapat perhatiannya sepanjang mendekati penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kebajikan golongan itu tidak harus dipinggirkan dalam usaha membawa pembangunan dan pembaharuan kepada Gadek.

“Kebajikan mereka, sosioekonomi mereka tidak harus dipinggirkan. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk memperbaharui kehidupan di Gadek melalui pembaharuan-pembaharuan yang saya akan sokong,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini, di sini.

Calon nombor 4 DUN Gadek ini berkata, kepercayaan diberikan sebagai calon baharu membuka ruang kepadanya untuk memperjuangkan keperluan penduduk menerusi pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat.

“Pertama kali, harapan saya sebagai calon sudah menjadi nyata. Saya akan memastikan pembaharuan di DUN Gadek akan juga menjadi nyata selepas saya menang.

“Dan ia akan disusuli dengan pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat. Saya juga akan memastikan setiap masyarakat harus dilindungi dan saya akan menjadi suara Gadek,” katanya.

Mengulas ungkapan ‘Nadarajah Suara Gadek’, beliau mengakui gembira apabila namanya digandingkan dengan hasrat untuk mewakili suara masyarakat setempat.

Katanya, tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk merangkumi seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira sama ada mereka menyokong BN atau pembangkang.

Dalam masa sama, beliau mahu mengusahakan peluang untuk meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat India agar komuniti berkenaan turut menikmati manfaat pembangunan negeri.

“Saya akan mengusahakan segala cara yang membolehkan membangunkan kaum India, masyarakat India selaras dengan pencapaian Negeri Melaka yang dirancang, yang dijalankan oleh Ketua Menteri kita,” katanya.

Menyifatkan pengundi Gadek sebagai keluarganya, Nadarajah berharap kemajuan Melaka turut diterjemahkan kepada perubahan sosioekonomi yang dapat dinikmati penduduk di kawasan itu.

“Pengundi-pengundi DUN Gadek, keluarga saya, mereka harus menikmati pencapaian, pembaharuan sosioekonomi daripada Melaka,” katanya.

Pada PRN Melaka ke-16, Nadarajah merupakan antara muka baharu BN daripada MIC yang diberi kepercayaan bertanding di DUN N.07 Gadek dan memperoleh nombor empat pada kertas undi.

Beliau berdepan saingan empat penjuru membabitkan Jegasilan Kungamboo daripada Pakatan Harapan (PH), Laveen Balaprabhakaran daripada Parti BERSAMA Malaysia serta Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post HOSPITAL MELAKA BAKAL DIPERKUKUH SEBAGAI PUSAT RUJUKAN JANTUNG
Next post PRN MELAKA: PEMBANGUNAN TVET JADI AGENDA MANIFESTO BN – TOK RAUF