
PRN MELAKA: ‘ABANG HAKIM’ MAHU SEGARKAN LAGI WAJAH PEKAN MASJID TANAH
LENDU 5 November – Kebersihan, keceriaan dan penambahbaikan landskap Pekan Masjid Tanah bakal menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau yang juga calon nombor 1 berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha memperindah Pekan Masjid Tanah yang terletak dalam kawasan DUN Lendu dan menjadi antara pusat tumpuan utama penduduk di kawasan Parlimen Masjid Tanah.
Menurutnya, meskipun aktiviti ekonomi di pekan berkenaan sudah berkembang dan meriah, aspek kebersihan, keceriaan persekitaran serta landskap bangunan kedai masih mempunyai ruang untuk ditambah baik.
Katanya, persekitaran yang bersih dan menarik bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penduduk, malah berpotensi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus merancakkan aktiviti perniagaan setempat.
“Saya memang letakkan kebersihan ini sebagai keutamaan untuk dilihat sekiranya diberikan mandat pada 14 November nanti. Ia antara perkara paling penting buat saya.
“Apabila sesuatu kawasan itu bersih, orang akan suka datang dan sedap mata memandang. Kita perlu tambah baik apa yang tidak cukup, terutamanya mengenai kebersihan dan hiasan landskap bangunan kedai sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas beramah mesra dengan penduduk pada Program Kacau Wajik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lendu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, kelangsungan ekonomi peniaga pelbagai kaum di Pekan Masjid Tanah turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian, mengambil kira terdapat ‘pasang surut’ dalam aktiviti perniagaan setempat.
Justeru, beliau yang mesra dengan panggilan ‘Abang Hakim’ berhasrat meneliti keperluan serta potensi setiap cabang perniagaan yang boleh dibantu bagi memastikan peluang menjana ekonomi dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh peniaga Melayu, Cina dan India.
Jelasnya, kepelbagaian jenis perniagaan serta perkhidmatan yang ditawarkan masyarakat berbilang kaum merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh daya tarikan Pekan Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


