
HEE SEM HASRAT BUKA LEBIH BANYAK DESTINASI PELANCONGAN DI MACHAP JAYA
TANJUNG BIDARA 6 November – Membangunkan lebih banyak destinasi pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada belia antara hasrat calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem sekiranya kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, potensi kawasan itu mahu terus diteroka supaya pembangunan pelancongan turut membawa manfaat kepada penduduk, khususnya generasi muda.
Menurutnya, usaha membangunkan produk pelancongan di Hutan Percha antara langkah yang telah dilaksanakan dan mahu diteruskan dengan meneroka tarikan di lokasi lain pula.
“Saya ada hasrat lagi nak bangunkan Machap Jaya menjadi satu destinasi pelancongan baharu.
“Kita nak teroka lebih banyak tempat di DUN Machap Jaya supaya boleh menjadi tempat pelancongan baharu dan kita nak ada peluang pekerjaan baharu untuk belia,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Selain pelancongan, Hee Sem berkata, usaha menangani kesesakan lalu lintas turut menjadi perhatiannya, termasuk cadangan pembinaan jalan alternatif sepanjang kira-kira lima kilometer dari Lesung Batu ke Padang Sebang.
Katanya, cadangan yang telah dibincangkan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr Ab Rauf Yusoh itu bertujuan membantu mengurangkan kesesakan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan, terutama pada waktu puncak.
Beliau berkata, permohonan jalan berkenaan telah dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut.
Mengulas kemudahan penduduk, Hee Sem berkata, pemasangan lampu solar sepanjang tahun lalu dan tahun ini membantu menerangi beberapa kawasan luar bandar di Machap Jaya yang sebelum ini gelap pada waktu malam.
Menurutnya, kemudahan itu menerima maklum balas positif daripada penduduk yang berasa lebih selesa untuk keluar pada waktu malam.
Beliau turut menyentuh penyediaan dewan terbuka di kawasan Tebong bagi memudahkan masyarakat mengadakan pelbagai majlis, termasuk kenduri perkahwinan.
Katanya, sebelum kemudahan itu disediakan, penduduk terpaksa mencari lokasi di luar kawasan, termasuk di Machap Umboo, untuk mengadakan majlis.
Dalam pada itu, Hee Sem yang mesra dikenali sebagai ‘Ah Sem’ berkata, amalan turun padang dan mendekati penduduk akan terus menjadi pendekatannya dalam memahami keperluan masyarakat.
“Masalah rakyat saya utamakan. Apabila saya tiada urusan di pejabat, saya akan turun ke kawasan dan sentiasa menyantuni pengundi di DUN Machap Jaya, seperti menerusi program Ziarah Kasih.
“Saya dapat melihat masalah mereka dan orang sakit, apa yang kita boleh bantu,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-16, Hee Sem yang memperoleh nombor satu pada kertas undi berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), B. Prasanth Kumar Brakasam.
Pertembungan itu menemukan dua bekas wakil rakyat Machap Jaya yang pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri, dengan Ginie memenangi kerusi berkenaan pada 2018 menerusi majoriti 1,336 undi, manakala Hee Sem menang pada PRN 2021 dengan majoriti 938 undi dalam saingan lima penjuru.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


