PRN MELAKA: LEBIH RM6 JUTA DISALURKAN BAGI TANGANI BANJIR AYER LIMAU – HAMEED

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER LIMAU 6 November – Perbelanjaan bagi pelbagai projek menangani masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dianggarkan mencecah antara RM6 juta hingga RM7 juta sepanjang tempoh empat tahun lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN N03 Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah itu melibatkan pelaksanaan beberapa projek menaik taraf infrastruktur saliran serta kerja pembaikan di kawasan yang sering berdepan banjir.

Beliau yang juga calon nombor 2 berkata, antara lokasi yang menerima perhatian termasuk Lubok Cina, Ramuan China Besar dan Ramuan China Kechil.

“Sebagai contoh di ban Lubok China itu sahaja sebanyak tiga kali kita buat yang mana kali pertama kita membuat dengan nilai kos lebih RM1 juta, selepas itu kali kedua baik pulih RM500,000 dan kali ketiga baik pulih RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui untuk berkongsi perkembangan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Warung Nek Jah, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hameed berkata beberapa projek lain untuk mengatasi banjir di DUN itu turut dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf lintasan pembetung di Ramuan China Besar yang melibatkan peruntukan kira-kira RM2 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, usaha penambahbaikan turut merangkumi kawasan sekitar bulatan Lubok Cina serta beberapa lokasi lain yang dikenal pasti mempunyai masalah aliran air.

“Pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan mengurangkan risiko banjir dan memastikan sistem saliran dapat menampung peningkatan aliran air dan beberapa penyelesaian berskala besar masih memerlukan peruntukan tambahan sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JANJI JASMINE BUAT RAKYAT BANDAR HILIR
Next post JENTERA PERLU GANDAKAN GERAK KERJA, PASTIKAN KEMENANGAN CALON BAHARU