
PRN MELAKA: BN-PN SASAR RAMPAS SEMULA DUN AYER KEROH, BUKIT KATIL – AB RAUF
BUKIT KATIL 6 November – Kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu diterjemahkan kepada kemenangan, khususnya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Ayer Keroh dan N.17 Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, misi itu mampu dicapai berdasarkan kepada komitmen semasa yang ditunjukkan oleh jentera BN-PN di kedua-dua DUN berkenaan.
Ab Rauf berharap, momentum kempen yang digerakkan jentera BN-PN diperkasa dan diperkukuhkan lagi menuju ke hari pengundian PRN Melaka Ke-16 pada 14 November nanti.
“Insya-Allah, saya yakin bukan sahaja di DUN Bukit Katil, tetapi di Ayer Keroh akan menjadi satu lagi kerusi yang akan diberikan kepada BN dan PN.
“Kita juga memberikan komitmen untuk bekerja lebih kuat lagi di Ayer Keroh untuk sama-sama dapat merampas semula kerusi tersebut kepada BN dan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Bukit Katil di Bilik Gerakan DUN Bukit Katil, di sini, hari ini.
Hadir sama Calon PAS bagi DUN Bukit Katil Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dan calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Ayer Keroh Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


