JENTERA PERLU GANDAKAN GERAK KERJA, PASTIKAN KEMENANGAN CALON BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

GADEK 6 November – Jentera Barisan Nasional (BN) terutamanya di N.07 Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek perlu memperhebatkan gerak kerja kempen bagi memastikan parti itu sentiasa mendahului parti lawan dalam mendekati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, seluruh jentera parti perlu bekerja lebih keras selain tidak mengambil mudah persaingan empat penjuru di kerusi DUN Gadek.

Katanya, jentera perlu memanfaatkan baki tempoh berkempen dengan membawa calon BN, S Nadarajah yang mewakili MIC bertemu seramai mungkin pengundi bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“Kerja dari pagi sampai ke malam dan bawalah Nadarajah berjumpa seramai mana pengundi yang boleh kerana kita mesti wajib menang. Gadek wajib menang begitu juga Alor Gajah wajib menang dan Melaka juga boleh menang.

“Untuk itu kita kena mendahului segala gerak kerja parti lawan kerana persaingan empat penjuru ini bukan perkara mudah,” katanya.

Fairul Nizam berkata demikian ketika berucap sempena lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Gadek, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dan calon BN DUN Gadek S Nadarajah.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi N.10 DUN Asahan turut mengingatkan jentera supaya tidak terlalu selesa dengan perkembangan positif kempen terutamanya di platform media sosial.

“Semua ketua sayap, ketua cawangan dan anggota parti diminta untuk bersama-sama memainkan peranan pada setiap hantaran media sosial membabitkan calon BN yang bertanding.

“Setakat hari ini kita mendahului semua calon lawan, tetapi kita pernah melalui pengalaman pada 2022 apabila pada minggu pertama kempen kita mendahului di media sosial sebelum keadaan berubah pada minggu kedua kerana terlalu selesa.

“Kita ada Ketua Menteri yang hebat, calon yang hebat begitu juga jentera tetapi jangan sampai leka kerana kitalah jentera yang perlu mendapatkan sokongan pengundi di luar, katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, Nadarajah yang juga calon BN nombor empat berdepan saingan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), BERSAMA dan PUTRA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

187
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: LEBIH RM6 JUTA DISALURKAN BAGI TANGANI BANJIR AYER LIMAU – HAMEED
Next post PRN MELAKA: BN-PN SASAR RAMPAS SEMULA DUN AYER KEROH, BUKIT KATIL – AB RAUF