Naik taraf muzium, lokasi bersejarah sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 20 Jun – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) akan menaik taraf beberapa muzium dan lokasi bersejarah bagi menarik pengunjung bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab. Aziz berkata, kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf itu akan memakan masa sehingga hujung tahun dan akan dibuka pada 1 Januari tahun hadapan.

Katanya, antara lokasi yang akan dinaik taraf melibatkan Muzium Pertanian, Muzium Tuan Yang Terutama (TYT), Galeri Ketua Menteri, Perigi Portugis dan Perkampungan Hang Tuah.

“Untuk kerja-kerja naik taraf, di Muzium Pertanian Jasin akan melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000; Muzium TYT yang ditutup sementara pula sedang menjalani pembaikan melibatkan peruntukan RM300,000, sementara Galeri Ketua Menteri pula sedang dalam proses kerja-kerja reka bentuk dalaman dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta.

“Kerja baik pulih infrastruktur di Perkampungan Hang Tuah, Duyong pula melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta, manakala projek memulihara Perigi Portugis di Merlimau sebanyak RM200,000.

“Kesemua lokasi ini akan ditutup secara berperingkat bagi menjalankan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih. Ia akan dibuka semula pada 1 Januari 2024 kepada semua pengunjung pada TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar ‘Kapal Mendam Berahi’: Realiti atau Mitos? di MITC di sini, semalam, yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Perzim Fadhilah Md Saleh.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata sebanyak 21 muzium yang beroperasi sepanjang tahun ini telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM2 juta.

“Kita sasarkan jumlah itu akan meningkat sehingga RM5 juta pada hujung tahun ini dengan kehadiran lebih 5 juta pelancong ke muzium,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1644
Kongsi :
Previous post Polis keluar tiga saman, lerai pergaduhan ‘rider’ dengan orang awam
Next post ‘Badang’ cilik Melaka cipta kejutan lagi
Ubah saiz-+=