Nasib tiga beranak terbela bakal duduki rumah baharu

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

PAYA RUMPUT 30 Nov- “Setiap malam apa yang merisaukan saya nasib kedua-dua anak, apa akan jadi kepada mereka jika saya tiada.

“Jauh di sudut hati saya berharap dan berdoa agar diberikan kesihatan yang baik dan ada bersama mereka sehingga besar,” luah bapa tunggal Aziz Mohd Ali, 64.

Kehidupan Aziz bersama dua anaknya Muhammad Azmin Aziz, 15, dan Nurazizah Aziz, 9, yang tinggal menyewa di sebuah bilik di bangunan rumah kedai mendapat perhatian apabila kesusahan keluarga itu disedari guru sekolah.

Difahamkan, selepas berpindah ke bilik sewa itu, kedua-dua beradik itu dikatakan mengalami masalah pengangkutan sehingga sering tidak hadir ke sekolah.

Aziz yang kini menghidap angin ahmar berkata, dia tidak sangka doa dan harapannya untuk memberi yang terbaik buat anaknya akan tercapai apabila mereka sekeluarga akan dipindahkan ke rumah baharu dalam masa terdekat ini.

“Ianya macam suatu rezeki besar buat saya dan anak-anak apabila nasib mereka terbela.

“Dalam usia begini mereka berdepan banyak dugaan dan Alhamdulillah tidak lama lagi mereka akan rasai kehidupan lebih baik selain dapat bersekolah seperti biasa,” katanya ketika ditemui di bilik sewanya di Bukit Rambai, hari ini.

Dia yang sebelum ini berniaga makanan berkata, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesihatan yang mula merosot dia hilang punca pendapatan selain bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Alhamdulillah, walaupun berada dalam kesempitan anak-anak masih dapat makan dan adik perempuan saya serta perniaga di kawasan ini banyak membantu.

“Dengan berita gembira hari ini saya harap anak-anak turut gembira selain selagi mampu saya akan terus menjaga kedua-dua anak saya,” katanya.

Kesusahan dialami bapa tunggal itu mendapat perhatian Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin yang akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi mencari rumah sewa baharu berhampiran sekolah.

AZIZ menerima panggilan video daripada Rais

Pegawai Khas Exco, Muhammad Shafiq Ab Majid berkata bagaimanapun beberapa faktor akan diambil kira termasuk jarak ke sekolah kerana tidak mahu dua anak Aziz ketinggalan dalam pelajaran.

“Malah sewa bulanan rumah turut akan dipertimbangkan oleh MAIM untuk diuruskan selain kita juga akan uruskan untuk permohonan bantuan Skim Bantuan Warga Emas,” katanya.

Selain itu, Pegawai Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Mohd Nasrom Yusof berkata, pihaknya akan membantu dalam proses mendapatkan taraf kerakyatan buat dua anak warga emas itu.

“Kita akan minta wakil keluarga itu untuk hadir ke JPN dan proses itu dijangka mengambil masa sehingga setahun,” katanya.

KEDIAMAN Aziz (kanan) dikunjungi pegawai dari MAIM daN JPN

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post Usaha lestarikan sungai dipergiat
Next post Menara Merdeka 118 lambang pencapaian hebat kejuruteraan negara
Ubah saiz-+=