Usaha lestarikan sungai dipergiat

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BANGI, 30 Nov – Kerajaan merancang untuk membangunkan lebih banyak loji efluen industri berpusat di kawasa-kawasan perindustrian, di samping menggiatkan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dalam hasrat menggiatkan usaha melestarikan sungai.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) setiap lokasi yang diwartakan sebagai kawasan perindustrian akan dibangunkan dengan sistem pembuangan berpusat, yang akan mengawal sisa pembuangan kilang-kilang.

“Sistem itu akan mengawal punca (sisa) sebelum turun ke sungai. Dengan cara ini ia boleh elak sungai daripada tercemar oleh pembuangan sisa kilang-kilang,” katanya pada persidangan media selepas melancarkan Denai Sungai Langat di sini hari ini.

Katanya pembangunan denai di sepanjang sungai pula berpotensi mengelak pencerobohan dan pencemaran terutama pembuangan sisa oleh lori-lori.

Tuan Ibrahim berkata projek Denai Sungai Langat adalah titik permulaan program DSK, yang akan menyaksikan kawasan rizab sungai dibangunkan sebagai kawasan rekreasi bagi merangsang aktiviti ekonomi berasaskan alam sekitar seperti eko pelancongan sungai.

Beliau berkata Denai Sungai Langat sejauh empat kilometer ketika ini berpotensi untuk ditambah jaraknya sehingga menjadi 50 kilometer, sehingga memasuki kawasan Putrajaya; dan menurutnya Kementerian Alam Sekitar dan Air mensasarkan pembinaan DSK sepanjang 10,000 kilometer menjelang 2030.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Dua pengembara Afrika Selatan transit di Singapura disahkan positif Omicron
Next post Nasib tiga beranak terbela bakal duduki rumah baharu
Ubah saiz-+=