Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 PPN, Pahang 3, Johor 2 Jumaat ini – PM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 22 Sept – Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala Pahang dan Johor masing-masing ke Fasa 3 dan Fasa 2 berkuat kuasa 24 September ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataannya hari ini berkata, keputusan itu dibuat pada Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19.

Menurutnya, antara ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini ialah kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa esok.

“Kedua adalah membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

“Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober,” katanya.

Tambahnya, turut dibenarkan beroperasi di semua Fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 adalah pusat atau premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dengan syarat semua pengusaha operator dan pelawat dan pengunjung lengkap divaksin.

“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

“Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menyeru agar dengan kelonggaran itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Tambahnya, prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini.

Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post Polis tahan enam lelaki, rampas syabu bernilai RM3.087 juta
Next post Ular tedung sorok dalam tempayan
Ubah saiz-+=