Polis tahan enam lelaki, rampas syabu bernilai RM3.087 juta

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

GEORGE TOWN 22 Sept – Polis menahan enam lelaki dan merampas 107.5 kilogram (kg) syabu bernilai RM3.87 juta yang cuba diseludup ke luar negara dalam serbuan di jeti pendaratan ikan Sungai Acheh, di Daerah Barat Daya di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lalu, polis menyerbu jeti itu pada 2.30 petang dan terdapat lima lelaki termasuk tiga warga asing berada di situ, dipercayai sedang bersiap sedia untuk menghantar bekalan dadah ke negara jiran.

“Pemeriksaan dalam sebuah bot yang berada di jeti itu, polis menemui 100 bungkus dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh cina dan dipercayai semua 107.5 kg syabu tersebut untuk dibawa ke luar negara iaitu negara jiran kerana pasaran (syabu) lebih mahal di sana.

“Semua dadah yang dirampas itu bernilai RM3.87 juta dan polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Bukit Tambun, Jawi dekat sini dan menahan seorang lagi lelaki iaitu warga tempatan yang merupakan ahli sindiket tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan mendapati enam lelaki yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 55 tahun dan mereka berperanan untuk menghantar bekalan dadah tersebut ke luar negara dengan menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan juga mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak awal bulan September dan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka termasuk di luar negara.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut mengedar dadah di negara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki ahli sindiket terbabit yang dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang.

“Enam lelaki termasuk tiga warga asing itu bekerja sebagai buruh dan semua mereka negatif dadah. Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya semua dadah dirampas boleh digunakan oleh 537,500 penagih.

Beliau berkata polis turut menyita wang tunai RM1,000, dua kereta dan dua motosikal yang kesemuanya bernilai RM17,800 daripada tiga lelaki tempatan terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

744
Kongsi :
Previous post Selesai segera permasalahan rakyat, jangan tunggu sidang DUN
Next post Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 PPN, Pahang 3, Johor 2 Jumaat ini – PM
Ubah saiz-+=