Selesai segera permasalahan rakyat, jangan tunggu sidang DUN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Wakil rakyat di negeri ini dinasihati supaya berusaha menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing dengan sewajarnya dan tidak menunggu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, jika tidak diselesaikan segera segala permasalahan itu dibimbangi ia membebani rakyat.

Katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah memperakui bahawa pembangkang adalah rakan strategik, jadi ia perlu dimanfaatkan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“…rakyat adalah sebahagian ‘pelanggan’ kita. Dengan itu itu jika rakan-rakan bukan kerajaan menerima pelawaan YAB ketua menteri bahawa kita adalah ‘smart partnership’ (rakan strategik), maka jika ada permasalahan rakyat, kita berurusan terus.

“Jangan kita tunggu dewan ini…enam bulan sekali…rakyat yang ada masalah dah ‘mati’ dan bermasalah.

“Jadi saya rasa jika ada permasalahan rakyat selaku pelanggan kita, berhubung dengan semua pihak kerajaan dan Exco yang ada untuk selesaikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebelum Sulaiman membentangkan usul mengenai Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021.

Beliau mengulas pertanyaan Datuk Ginie Lim Siew Lin (PH-Machap Jaya) yang mencelah ketika G Saminathan (PH-Gadek) selesai mengajukan soalan tambahan berkaitan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disebabkan tempoh bagi jawapan pertanyaan lisan berakhir, Ginie mendapatkan kepastian adakan sesi itu akan disambung dan soalan tambahan dibenarkan.

Ghazale bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau menepati masa dan sesi pertanyaan lisan itu sudah melebihi tiga minit daripada masa dimaklumkannya iaitu 10.39 pagi sebelum sidang hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post KM ulas dakwaan Adly mengenai Far East
Next post Polis tahan enam lelaki, rampas syabu bernilai RM3.087 juta
Ubah saiz-+=