KM ulas dakwaan Adly mengenai Far East

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

SERI NEGERI 22 Sept – Syarikat Far East (Melaka) Sdn. Bhd, mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta yang telah melebihi syarat minimum untuk pelaksanaan projek tambakan laut secara inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau mengetahui perkara itu berdasarkan semakan pendaftaran syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurutnya, jumlah modal berbayar sebanyak RM1 juta itu juga telah melebihi syarat minima untuk syarikat mengemukakan permohonan projek penswastaan iaitu RM250,000.

“Syarikat juga telah menjelaskan bayaran sebanyak RM29.3 juta semasa menandatangani perjanjian. Bayaran ini adalah sebahagian bayaran Pembangunan Negeri Melaka yang perlu dijelaskan oleh syarikat daripada jumlah keseluruhan bayaran RM81 juta.

“Jumlah ini sangat besar dan menunjukkan syarikat tidak mempunyai masalah dari segi kewangan. Syarikat juga dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang sangat ketat seperti mana yang dinyatakan dalam dokumen perjanjian.

“Sudah pasti syarikat akan mengalami kerugian yang besar jika mereka gagal menyiapkan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, malah kerajaan negeri juga boleh melantik syarikat lain untuk melaksanakan projek tersebut sekiranya syarikat sedia ada gagal untuk melaksanakannya.

“Berhubung keluasan 1,190 ekar yang dipertikaikan oleh Yang Berhormat Bukit Katil (Ketua Pembangkang, Adly Zahari) untuk makluman, kelulusan yang diberikan kepada pihak syarikat ini adalah untuk membangunkan sebuah pelabuhan dan keluasan itu adalah munasabah.

“Namun, saya menjangkakan keluasan itu tidak mecukupi pada masa akan datang kerana untuk pembesaran sebuah pelabuhan sahaja memerlukan antara 3,000 hingga 4,000 ekar,” katanya.

Terdahulu, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Ke-14 hari ini, beberapa persoalan dibangkitkan ADUN semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) enakmen penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

Menurut Sulaiman, Adly turut menyatakan bukan mudah untuk membangunkan keseluruhan kawasan tambak laut sehingga Kerajaan Negeri pimpinan beliau sebelum ini mencadangkan agar satu konsultan dilantik untuk menyelaras semula pembangunan kawasan tambak laut.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan negeri pimpinannya hari ini juga berkongsi pandangan sama berkaitan perkara tersebut.

“Sebelum ini, projek tambakan laut yang diluluskan sebelum ini sangat tidak terancang dan hanya tertumpu kepada projek tambakan laut semata-mata tanpa menyatakan bentuk pembangunan yang mahu dilaksanakan.

“Keadaan itu menyebabkan daripada 3,279 ekar kawasan yang ditambak, hanya 268 ekar atau lapan peratus sahaja telah dibangunkan.

“Selain itu penyediaan infrastruktur seperti rangkaian jalan raya dan sistem salinan juga tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana pembangunan tambakan dilakukan oleh banyak pihak dan tiada agensi khusus yang menyelaras pembangunan di kawasan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu jelas ketua menteri, sememangnya terdapat keperluan agar sebuah agensi atau badan khusus iaitu Perbadanan M-WEZ ditubuhkan bagi merancang, melaksana, seterusnya memantau segala pembangunan di kawasan tersebut.

Keseluruhan pelaksanaan projek tambakan laut itu katanya adalah secara Private Finance Initiative atau PFI tanpa kerajaan negeri mengeluarkan sebarang peruntukan untuk pelaksanaan projek tambak laut tersebut.

“Malahan, syarikat-syarikat konsesi yang telah diluluskan dikehendaki membayar hampir RM13 Juta untuk setiap 100 ekar kawasan tambakan yang diluluskan selain menyerahkan 1/5 daripada kawasan yang telah ditambak kepada kerajaan negeri.

“Untuk tahun 2021 sahaja setelah penubuhan M-WEZ, kerajaan negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM78 juta hasil daripada kelulusan tambakan laut.

“Jumlah ini dapat membantu kita untuk menampung kekurangan hasil lain akibat kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik COVID,” katanya.

Justeru jelas Sulaiman, beliau amat yakin dengan salah satu peranan agensi Perbadanan M-WEZ iaitu untuk memantau dan memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan tambak laut akan dapat mengurangkan kegagalan pelaksanaan projek seperti yang berlaku sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Tambah baik dokumen SKN 2.0 dalam peringkat akhir – PAT
Next post Selesai segera permasalahan rakyat, jangan tunggu sidang DUN
Ubah saiz-+=