NGO bersih kubur, masjid sempena Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER MOLEK 13 April. – Bersempena kehadiran Ramadan bulan mulia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Bersih Kubur Melaka (RKBM) mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkan beberapa tanah perkuburan di negeri ini.

Penyelaras Program RKBM Muhammad Haris Win Musli Abdullah berkata, aktiviti itu dilakukan bersama kumpulannya dalam memastikan tanah perkuburan di negeri ini sentiasa bersih dan terpelihara.

Katanya, meskipun masih berada dalam fasa pandemik COVID-19, namun itu tidak menghalang pihaknya berganding bahu melakukan kerja seperti mengecat batu nisan, belindan atau kepok yang telah uzur.

TANAH perkuburan yang selesai dibersihkan.

“Usaha yang kami lakukan ini tidaklah seberapa namun dapat membantu pihak pengurusan kubur untuk memastikan kawasan itu berada dalam keadaan bersih dan terurus.

“Aktiviti secara santai ini dapat menambahkan pengalaman dalam kalangan ahli baharu yang terdiri daripada golongan muda dan pada masa sama membantu kami mencari saham akhirat,” katanya.

Dia menambah, RKBM turut bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan pemimpin setempat dalam melakukan aktiviti tersebut.

Katanya lagi, tidak hanya di tanah perkuburan, pihaknya turut menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan masjid dan surau di negeri ini.

“Kita berharap dengan aktiviti yang dilakukan ini ia dapat menjadi medium kepada anak-anak muda untuk melakukan kerja amal dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” ujarnya.

RKBM bersama ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman (empat dari kanan) merangkap EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan di Kampung Bukit Lintang.

Dalam pada itu, Muhammad Haris memaklumkan, bersempena Ramadan kali ini, pihak RKBM turut merancang untuk menggerakkan pelbagai aktiviti lain seperti berbuka puasa bersama golongan kurang bernasib baik dan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada mereka yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post Operasi kaunter LHDN ditutup 30 minit lebih awal sepanjang Ramadan
Next post 409,784 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=