Norhizam digesa pulang kenderaan rasmi – SUK

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERKAM 9 Okt – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee digesa supaya memberi kerjasama memulangkan kenderaan rasmi kepada kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts Kamel Mohamad berkata pemulangan kenderaan rasmi itu susulan perletakan jawatan Norhizam sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Isnin lalu.

“Saya mohon kerjasama mantan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam, saya harap beliau ada mendengar permohonan saya pada pagi ini sekali ini saya memohon kerjasama untuk menyerahkan dan mengembalikan aset kerajaan yang sebelum ini diamanahkan kepada beliau selagi mana memegang jawatan EXCO Melaka.

“Lebih cepat (pulang kenderaan rasmi), saya bersama rakan penjawat awam dapat fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat dan merancakkan ekonomi di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam di sini hari ini.

Kamel (dua kiri) bersama Mohd Rafiq (dua kanan) bersiap sedia untuk memukul bulu tangkis sebagai simbolik perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka, di Kompleks JAPERUN Serkam, sebentar tadi.

Semalam, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan bekas ADUN Pengkalan Batu itu memaklumkan akan memulangkan semua aset dan keistimewaan kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat termasuk EXCO yang lain melakukan perkara sama.

“Saya Norhizam Hassan Baktee akan memulangkan kenderaan rasmi dan (bangunan) JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelerasan DUN) setelah (semua) wakil rakyat memulangkannya.

“Dalam erti kata lain, saya berharap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memberikan masa dan tarikh supaya semua pihak (wakil rakyat) dapat memulangkan secara serentak dan terhormat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post Idris dan Noor Effandi pulangkan kenderaan rasmi
Next post ‘Syurga’ baharu buat enam beradik yatim piatu
Ubah saiz-+=