Nur Aimi dah bercakap, dipindahkan ke wad biasa

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH 28 Dis. – Selepas hampir dua minggu koma, ibu kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini 16 Disember lalu kini sudah mampu bercakap.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang kritikal akibat nahas tersebut kini sudah sedar selepas hampir dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Mangsa kini ditempatkan di wad biasa bagi tujuan pemantauan dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil serta sudah boleh bercakap.

“Polis sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangan mangsa mengenai kejadian yang menimpa mereka,” katanya seperti laporan Kosmo! Online ketika dihubungi hari ini.

Tambah A. Asmadi, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut dan beberapa saksi di lokasi pada hari kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam nahas kira-kira 3 petang 16 Disember lalu, Nur Aimi Nadiah, cedera parah manakala tiga anak lelakinya Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi.

Kejadian berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas sebelum melanggar belakang treler yang rosak dan berhenti di laluan kecemasan.

Ketika itu, Nur Aimi Nadiah dalam perjalanan dari Melaka setelah bertemu suaminya sebelum pulang ke Pulau Pinang kerana bekerja di negeri itu.

Views:

1135
Kongsi :
Previous post APMM patahkan cubaan seludup ganja bernilai RM1.5 juta
Next post KKM diminta lakukan siasatan kejadian buli
Ubah saiz-+=