KKM diminta lakukan siasatan kejadian buli

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH, 28 Dis – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjalankan siasatan dalaman membabitkan isu buli dalam kalangan doktor.

Presidennya Adnan Mat berkata, budaya buli dalam pekerjaan terutamanya dibidang profesional dan kritikal seperti doktor tidak wajar berlaku dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata, daripada laporan yang dibuat oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebanyak 66.9 peratus doktor di negara ini mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat. Foto: MR Azli

“KKM perlu mengemukakan data mengenai budaya buli bukan hanya membabitkan doktor malah petugas kesihatan lain termasuk jumlah kes yang diselesaikan selain cara kes ini disiasat.

“Siasatan dalaman perlu dijalankan bagi memastikan gejala buli ini dicegah dengan lebih berkesan selain dapat menyelesaikan aduan yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja- pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) KE 27 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini.

Menurut beliau, gejala buli ini bukan hanya akan memberi kesan kepada doktor malah pesakit yang dirawat.

“Mereka yang diterbabit adalah dari golongan muda berusia antara 26 hingga 35 tahun dan gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa bahkan merisiko nyawa pesakit.

“Tiba masanya kerajaan dan KKM bertindak tegas dalam mengatasi masalah ini selain bekerjasama dengan CUEPACS dan MMA dalam usaha membendung masalah ini kerana budaya buli boleh menjadi virus.

“Oleh itu, CUEPACS menggesa KKM mengambil perhatuan serius terhadap laporan kajian dibuat MMA,” katanya.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan sebanyak 66.9 peratus doktor di negara mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.

Berdasarkan statistik hasil daripada kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sebanyak 52.9 daripada 66.9 peratus doktor dalam lingkungan usia terbabit iaitu mereka yang selalunya berada pada fasa doktor pelatih melalui pengalaman pahit itu.

Views:

896
Kongsi :
Previous post Nur Aimi dah bercakap, dipindahkan ke wad biasa
Next post ATM sahkan rangkaian datanya digodam
Ubah saiz-+=