
OMSMC PERKUKUH KEMAHIRAN GP KESAN ‘RED FLAGS’ PESAKIT
KLEBANG 18 Ogos – Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC) memperkukuh kemahiran pengamal perubatan am (GP) dalam mengenal pasti tanda amaran (red flags) bagi menentukan kes yang memerlukan pemeriksaan lanjut dan rujukan kepada pakar.
Usaha itu diterapkan menerusi simposium dua hari bertemakan ‘Red Flags & Referrals: The GP’s Guide to Avoiding the Surgical Miss’ yang menghimpunkan kira-kira 100 GP dan profesional kesihatan.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada pengukuhan proses membuat keputusan klinikal, khususnya dalam mengesan kes yang berpotensi memerlukan penilaian atau rawatan pembedahan pada peringkat lebih awal.
Antara pengisian utama ialah bengkel amali dikendalikan pakar bedah serta pakar radiologi dengan subkepakaran Radiologi Vaskular dan Intervensi, yang memberi peluang kepada peserta membincangkan senario klinikal serta mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi praktikal.
Melalui bengkel itu, GP turut berpeluang mendapatkan pandangan secara langsung daripada pakar mengenai penilaian tanda amaran, keperluan pemeriksaan lanjut serta pertimbangan dalam menentukan rujukan kepada perkhidmatan pakar.
Simposium dimulakan dengan ucapan alu-aluan Ketua Pegawai Eksekutif OMSMC, Lee Soon Teck, sebelum diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu, perbincangan kes dan perkongsian pengalaman oleh pakar daripada pelbagai bidang.

Antara bidang yang terlibat ialah pembedahan am dan kolorektal, pembedahan pediatrik, pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT) serta kepala dan leher, selain perubatan pernafasan.
Perkongsian pakar memberi penekanan terhadap kepentingan mengenal pasti tanda amaran lebih awal, selain memperkukuh kerjasama antara penjagaan primer dengan perkhidmatan pakar dalam menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Program itu turut menyediakan ruang kepada GP mengemukakan persoalan dan membincangkan kes bersama pakar bagi meningkatkan kefahaman serta keyakinan dalam membuat keputusan klinikal, khususnya apabila pesakit hadir dengan gejala yang tidak spesifik pada peringkat awal.
Bagi pesakit, pengesanan tanda amaran dan penentuan rujukan yang bersesuaian membolehkan keperluan pemeriksaan lanjut serta penilaian pakar dipertimbangkan pada masa yang tepat.
Penyertaan kira-kira 100 profesional kesihatan dalam simposium itu turut memperlihatkan kepentingan pendidikan perubatan berterusan serta perkongsian kepakaran antara pengamal penjagaan primer dan pakar daripada pelbagai disiplin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


