WRUR TABOH NANING: SEMBILAN HARI BERSAMA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TABOH NANING 18 Ogos – Sebanyak 49 program disusun sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 5 September ini.

Program santunan rakyat itu bakal membabitkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan bagi memberi peluang rakyat mendapatkan perkhidmatan serta mengemukakan masalah secara terus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, persiapan pelaksanaan WRUR berkenaan kini berjalan lancar hasil kerjasama semua jabatan dan agensi yang terlibat.

Katanya, pelbagai pengisian untuk segenap lapisan masyarakat disediakan sepanjang program berkenaan termasuk sukan rakyat, pertandingan memancing, lawatan dari rumah ke rumah serta kerja membaik pulih rumah menerusi kerjasama agensi berkaitan.

“Program melibatkan sekolah juga kita awalkan supaya penyertaan murid dapat disusun dengan baik pada WRUR ini. Kita mahu semua lapisan masyarakat merasai dan menerima manfaat menerusi program ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, masyarakat DUN Taboh Naning digalakkan mengambil peluang menyertai program yang disediakan serta mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan sepanjang tempoh WRUR.

Menurutnya, program bersama rakyat akan menjadi antara pengisian utama pada hari penutup WRUR di Japerun Taboh Naning pada 5 September ini dengan penglibatan pelbagai agensi Kerajaan Negeri.

“Program bersama rakyat itu memberi peluang orang ramai mengajukan masalah mereka secara terus kepada agensi yang berkaitan.

“Acara akan bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, antara agensi yang akan terlibat ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

984
Kongsi :
Previous post CIPTA APLIKASI BAHASA INGGERIS, MURID PPKI RANGKUL GELARAN JOHAN
Next post OMSMC PERKUKUH KEMAHIRAN GP KESAN ‘RED FLAGS’ PESAKIT