CIPTA APLIKASI BAHASA INGGERIS, MURID PPKI RANGKUL GELARAN JOHAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Kesukaran menguasai Bahasa Inggeris mendorong murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput bersama guru pembimbing menghasilkan aplikasi pembelajaran interaktif yang akhirnya membawa mereka muncul johan kategori PPKI pada Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026).

Muhammad Ammar Mohd Firdaus, 12, bersama guru pembimbingnya, E Komathi menghasilkan aplikasi berkenaan berdasarkan keperluan pembelajaran murid berkeperluan khas yang menghadapi kesukaran mengingati kata nama, kata kerja serta membina ayat Bahasa Inggeris.

Komathi berkata, penggunaan elemen visual menerusi gambar dilihat lebih mudah difahami dan membantu murid menguasai pembelajaran secara lebih interaktif.

“Murid PPKI ini antara kesukarannya adalah untuk mengingati kata nama, kata kerja dan membina ayat, justeru penggunaan gambar adalah kaedah lebih mudah serta amat membantu.

“Menerusi kaedah ini kami cuba mencari penyelesaian bagi menjadikan pembelajaran lebih interaktif sebelum tampil dengan inovasi menghasilkan aplikasi ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 di Universiti Multimedia (MMU), Kampus Melaka, di sini, baru-baru ini.

Hadiah kemenangan telah disampaikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Komathi, penyertaan murid PPKI dalam HIK@M2026 buat julung kali membuktikan golongan berkenaan mempunyai bakat dan kemampuan untuk diketengahkan menerusi platform inovasi.

Katanya, peluang berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid PPKI dalam bidang inovasi, malah membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.

“Saya berharap kategori PPKI yang diperkenalkan pada HIK@M2026 dapat diteruskan pada penganjuran akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai murid berkeperluan khas mengetengahkan idea serta kreativiti masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post RM20 JUTA ATASI ‘SALIRAN BERMASALAH’ DI MELAKA