
RM20 JUTA ATASI ‘SALIRAN BERMASALAH’ DI MELAKA
AYER LIMAU 18 Ogos – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM20 juta bagi kerja menaik taraf sistem saliran di Melaka, termasuk membaiki longkang tersumbat serta membesarkan saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air dalam usaha mengurangkan risiko banjir.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penambahbaikan sistem saliran itu merupakan antara langkah pencegahan jangka pendek bagi mengurangkan faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir.
Katanya, kerja berkenaan dilaksanakan secara berperingkat menerusi penyelarasan antara portfolio beliau dengan portfolio berkaitan saliran dan bencana.
“Antara langkah yang dilaksanakan dalam jangka pendek termasuk membaiki longkang tersumbat selain membesarkan saiz longkang yang tidak lagi mampu menampung aliran air dengan berkesan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed berkata, pada masa sama Kerajaan Negeri turut merancang penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir secara lebih menyeluruh, termasuk cadangan pembinaan kolam takungan air dan empangan.
Menurutnya, projek berskala besar berkenaan memerlukan perancangan terperinci serta kelulusan Kerajaan Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan.
“Isu-isu kecil seperti masalah longkang kita cuba selesaikan walaupun tidak dapat menyelesaikan semuanya.
“Namun, penyelesaian jangka panjang turut diberi perhatian termasuk cadangan pembinaan kolam takungan air dan empangan yang memerlukan perancangan serta kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

