Onn Hafiz teruskan legasi kepimpinan keluarga

Share and Enjoy !

Shares

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Mempunyai darah kepimpinan yang mengalir dalam dirinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini meneruskan legasi keluarganya sebagai pemimpin penting Johor dan negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

Pelantikan Onn Hafiz, 43, yang merupakan piut kepada Menteri Besar pertama Johor Datuk Jaafar Muhamad menambah seorang lagi pemimpin daripada keluarga yang tidak asing dalam landskap politik negara itu yang menerajui Negeri Johor Darul Takzim.

Moyang beliau adalah pengasas dan Presiden pertama UMNO Datuk Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor ketujuh manakala datuk beliau, Tun Hussein Onn adalah Perdana Menteri ketiga Malaysia.

Onn Hafiz hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lepas, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN) dan R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020.

Di bawah portfolio beliau, beberapa program telah dilaksanakan meliputi pembangunan sukan dan belia termasuk penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan juga membuka Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong, kemudian Ketua Pemuda UMNO Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19
Next post Pendengaran PM, kerajaan batal saman berhubung Pulau Batu Puteh pada 21 Jun