Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lepas.

Beliau yang bersongkok, berbaju Melayu Teluk Belanga berwarna hitam serta lengkap bersampin mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu dimuat naik di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim yang turut memaparkan 16 keping gambar upacara berkenaan.

Pada PRN Johor ke-15, Onn Hafiz, 44, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.

Beliau yang merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020 sehingga DUN dibubarkan pada 22 Jan lepas.

Memiiki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom, beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 2013 hingga 2018.

Onn Hafiz dilantik meskipun sebelum ini BN mencadangkan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti itu memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

Hasni merupakan Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

BN memenangi PRN Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Terdahulu, kenderaan rasmi membawa Sultan Ibrahim dilihat tiba di Istana Bukit Serene kira-kira 2.50 petang.

Pengamal media mula berkumpul di luar istana berkenaan seawal 12 tengah hari walaupun dalam cuaca hujan lebat selepas mendapat maklumat berhubung istiadat angkat sumpah itu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

987
Kongsi :
Previous post APM rakan strategik bantu tingkat peranti AED
Next post Onn Hafiz teruskan legasi kepimpinan keluarga
Ubah saiz-+=