Operasi Jihad Dadah, 107 individu ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KRUBONG 31 Okt – Polis Melaka berjaya memberkas 107 individu disyaki penagih dadah dalam Operasi Jihad Dadah yang dijalankan serentak di seluruh negeri pada hari ini dan semalam.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 63 tahun itu ditahan dalam operasi terbabit termasuk empat wanita.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata seramai 41 individu diberkas di daerah Melaka Tengah, 37 individu di daerah Jasin dan 29 individu di daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, dalam operasi di enam kawasan hitam melibatkan tiga daerah itu turut berjaya merampas dadah jenis heroin sebanyak 77.88 gram, syabu (21.51 gram), ganja (4.07 gram) dan pil erimin 5 sebanyak 20 biji.

“Kesemua 107 individu termasuk enam orang didapati pengedar dadah diberkas menerusi operasi dua hari yang dijalankan di enam kawasan hitam melibatkan tiga di daerah Alor Gajah, dua di Melaka Tengah dan satu kawasan di Jasin

“Operasi Jihad Dadah ini disertai seramai 137 kekuatan anggota dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Jihad Dadah di Krubong, hari ini.

Dalam operasi itu, beliau turut menyerahkan sijil kepada pemimpin masyarakat untuk bersama-sama membasmi sarang penagih dadah di kawasan yang terbabit.

ABDUL Majid (dua kanan) menyerahkan sijil kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pantai Kundur, Md Yassin Suliman.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata seramai 1,629 individu ditahan bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Oktober lalu berbanding 1,309 penagih ditahan pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, kesemua yang ditahan pada tahun ini berusia lingkungan umur 15 tahun hingga 63 tahun.

“Pelbagai usaha dilaksanakan pihak berkuasa bagi usaha memutihkan kembali kawasan-kawasan difahamkan menjadi sarang penagih, kerjasama semua pihak untuk menjadi mata dan telinga menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah amat dialu-alukan,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1457
Kongsi :
Previous post Pak Wan ‘terasa hati’, bakal umum sesuatu November ini
Next post PKR kesal dikompaun RM10,000 
Ubah saiz-+=