PKR kesal dikompaun RM10,000 

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KRUBONG 31 Okt – PKR dikompaun RM10,000 selepas mengadakan Program Penerangan Bergerak di Taman Krubong Jaya, malam tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memaklumkan pihaknya menerima kompaun daripada pihak polis selepas program tamat.

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana jumlah kompaun yang dikenakan sangat tidak munasabah memandangkan dakwanya program itu tidak melibatkan perhimpunan.

“Kompaun itu dikeluarkan selepas selesai ceramah, kompaun ingkar prosedur operasi standard (SOP) berjumlah RM10, 000.

“Jumlah tidak munasabah, tiada kontak fizikal dan perhimpunan.

“Yang hadir semalam hanya dua penceramah, petugas, media dan pihak polis,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum program itu bermula di dua buah lokasi iaitu di Taman Sri Krubong dan Taman Krubong Jaya malam tadi, wakil penganjur sudah terlebih dahulu memaklumkan kepada pihak polis.

“Mereka hadir dan membuat pemantauan tetapi tiada komunikasi berkait hal ini dan kompaun itu dikeluarkan untuk program di Taman Krubong Jaya,” katanya.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya  berkata, sekiranya perlu,  pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah selain akan menulis surat kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi mendapatkan penjelasan.

” Dari segi fakta saya fikir perkara ini akan dibincangkan bersama peguam, buat masa ini belum ada tindakan lagi tapi saya juga akan menulis surat kepada Menteri Kesihatan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata, memandangkan arahan melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) yang berkuatkuasa sehingga 27 November depan, PKR cuba menggunakan pendekatan mengadakan ceramah bergerak dengan lori untuk berkempen.

Ceramah itu, ujarnya akan memberi penerangan kepada pengundi sebagai persiapan sebelum keluar mengundi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Operasi Jihad Dadah, 107 individu ditahan
Next post Polis tak berat sebelah kompaun parti politik ingkar SOP
Ubah saiz-+=