Kawal harga komputer: KPDNHEP keluar lapan notis

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 29 Jan. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan lapan notis bagi mendapatkan maklumat harga barangan bagi mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan dalam penjualan alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, seramai lima pasukan pemeriksaan membabitkan kira-kira 40 pegawai dan anggota penguat kuasa menjalankan pemantauan di lapangan sejak pelaksanaan Ops Catut 8.0 secara serentak di seluruh negara Isnin lalu.

Katanya, setakat semalam 15 premis ICT diperiksa di tiga daerah dan hasil pemantauan itu pihaknya mengeluarkan lapan notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga bagi tujuan analisa.

“Analisa itu adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai peralatan ICT seperti komputer, komputer riba, tablet dan telefon bimbit supaya harga jualan peralatan elektronik itu dijual pada harga munasabah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP mengeluarkan notis NPMB di premis menjual peralatan komputer di Taman Angkasa Nuri, Melaka.

Beliau berkata, peniaga yang menerima notis berkenaan diberi tempoh dua hari bagi memberikan maklumat harga berkaitan peralatan komunikasi itu.

Semalam, media melaporkan KPDNHEP melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, sejak Isnin lalu sehingga kelmarin, bahagian penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap 130 premis yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi di seluruh negara dan 130 notis NPMB diserahkan kepada peniaga.

Views:

429
Kongsi :
Previous post MICTH tinjau 24 lokasi baharu bagi rangkaian jalur lebar
Next post Dulu niaga guna kereta tolak, kini ‘anak Serani’ miliki kiosk sendiri
Ubah saiz-+=