Ops PEWA buru pemandu, penunggang warga asing

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUKIT KATIL 11 Ogos – Sejumlah 67 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka keatas pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi khas Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA), bermula pada jam 5 petang semalam.

Operasi itu dijalankan sepasukan 24 pegawai penguatkuasa JPJ di sekitar Melaka Sentral selepas mendapati laluan terbabit menjadi kawasan ‘hot spot’ warga asing.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, pihaknya menggunakan kaedah penyamaran untuk mengesan pemandu dan penunggang warga asing sepanjang operasi selama dua jam itu.

“Kami mengenal pasti 35 kenderaan kenderaan dikendalikan oleh warga asing dan susulan pemeriksaan 67 notis pelbagai kesalahan berjumlah RM20,100 dikeluarkan.

“Kesalahan paling banyak direkodkan adalah tidak ada lesen memandu dengan 42 kompaun, masing-masing 10 tidak memiliki insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, diikuti cermin gelap dengan tiga kompaun dan bakinya tidak memakai tali pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Khas E-ID Awam dan MYJPJ Bersama Pengamal Media, di Pejabat JPJ Negeri Melaka, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hampir 90 peratus kenderaan diperiksa pihaknya dalam operasi itu adalah milik orang tempatan tetapi digunakan oleh warga asing.

“Kompaun turut dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan ini, selain itu 23 motosikal dan dua kereta turut disita hasil operasi sama,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, sejak Januari hingga Julai pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 283 saman keatas warga asing membabitkan nilai kompaun RM84,900.

“Menerusi Ops PEWA ini kita dapati kebanyakkan warga asing yang diambil tindakan adalah etnik Rohingya, diikuti Pakistan dan juga Bangladesh.

“Kami difahamkan kenderaan digunakan warga asing ini kebanyakkannya disewa terus daripada pemilik warganegara dan ada juga menerusi pihak ketiga.

“Situasi ini agak membimbangkan kerana mereka ini bukan sahaja memandu tanpa lesen dan cukai jalan yang sah malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3816
Kongsi :
Previous post MPAG kibar 2,000 Jalur Gemilang
Next post Iman Rabbit Farm rangsang minda kanak-kanak
Ubah saiz-+=