Optimum kos dan sumber, punca kontrak Pos Rider ditamatkan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR 1 Jul – Pengurangan permintaan terhadap pengiriman bungkusan selain lebihan sumber manusia mendorong Pos Malaysia untuk menamatkan kontrak lebih 100 ejen serahan Pos Rider di seluruh negara termasuk 23 di Melaka.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, meskipun permintaan terhadap pembelian atas talian meningkat tahun ini, namun landskap pasaran yang kompetitif menyebabkan penyedia e-dagang mewujudkan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri.

“Selain itu, pengurangan ketergantungan pasaran terhadap pengiriman bungkusan oleh penyedia perkhidmatan kurier tempatan, kami berdepan lebihan sumber manusia yang mendorong Pos Malaysia untuk merasionalisasikan program Pos Rider.

“Semasa tempoh yang mencabar seperti pandemik ini, kami perlu menyesuaikan kos dan mengoptimumkan sumber yang ada bagi memastikan kemampanan perniagaan, demi menjaga kepentingan lebih daripada 13,600 kakitangan
barisan hadapan Pos Malaysia di seluruh negara.

“Selain persaingan sengit, kami turut terkesan dengan lambakan perkhidmatan (penawaran harga rendah yang terlalu rendah) oleh sesetengah pemain industri, dengan tujuan untuk mengganggu pasaran,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan pihaknya kekal relevan dan berdaya saing untuk terus bertahan dalam keadaan mencabar ini, pihaknya perlu menitik-beratkan pengurusan kos dengan secara berhemah.

“Fasa pertama rasionalisasi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2021 di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

“Kami telah mengeluarkan notis pemberitahuan 14 hari kepada semua Pos Rider yang terlibat, mematuhi klausa penghentian seperti yang telah termaktub dalam kontrak,” katanya.

Terdahulu, seramai 23 Pos Rider di Melaka kesal dengan tindakan Pos Malaysia yang menamatkan kontrak dalam tempoh PKP 3.0 selain mendakwa ia tindakan tidak wajar berikutan ada dalam kalangan yang terpaksa berhutang untuk membeli van bagi menjalankan perniagaan sebagai ejen serahan Pos Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: 23 Pos Rider Melaka kesal ditamatkan kontrak waktu PKP 3.0

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post 23 Pos Rider Melaka kesal ditamatkan kontrak waktu PKP 3.0
Next post STPM 2020: 741 calon capai PNGK 4.00, 554 daripadanya golongan B40
Ubah saiz-+=