STPM 2020: 741 calon capai PNGK 4.00, 554 daripadanya golongan B40

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 1 Julai – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 sedikit merosot dengan 741 calon mendapat Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 802 calon pada 2019.

Bagaimanapun, peratusan golongan B40 bagi pencapaian itu meningkat kepada 74.76 peratus atau 554 calon berbanding 73.19 peratus (587 calon) pada 2019.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, secara keseluruhan, PNGK Nasional STPM 2020 meningkat 0.01 peratus daripada 2.77 pada 2019 kepada 2.78.

“Daripada 741 calon yang mendapat PNGK 4.00, 23 calon telah mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil dan 718 calon telah mendapat 4A dalam mata pelajaran yang diambil.

“Namun, dari segi pencapaian calon secara keseluruhannya, pencapaian calon STPM 2020 dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2019 kerana perbezaan peningkatannya yang sangat kecil,” katanya ketika pengumuman keputusan STPM 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Sementara itu, Wahid berkata seramai 44,704 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2020 dengan kehadiran seramai 42,983 calon dan daripada jumlah kehadiran itu 42,809 adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (95), calon persendirian (65) manakala 14 calon sekolah kerajaan negeri.

Beliau berkata peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran turun iaitu daripada 73.67 peratus (33,021 calon) pada 2019 kepada 72.97 peratus (31,366 calon) pada STPM 2020.

“PNGK calon bandar masih mengatasi calon luar bandar dengan masing-masing PNGK 2.80 dan 2.78 dan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar juga sama dengan STPM 2019, iaitu sebanyak 0.02 mata,” katanya.

Beliau berkata peperiksaan STPM kali ini menyaksikan mata pelajaran Tahfiz Al-Quran yang ditawarkan buat pertama kali dengan 63 daripada 69 calon berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk Al-Quran.

“Calon yang berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran ini akan menerima Sijil Hafazan dari MPM selain daripada Sijil STPM,” kata beliau.

Antara medium untuk calon menyemak keputusan masing-masing adalah menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan perkhidmatan SMS ringkas dengan menaip STPMNo. K/PAngka Giiiran dan hantar ke 68886 mulai hari ini.

Wahid memaklumkan sijil STPM akan diedarkan dalam tempoh dua bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post Optimum kos dan sumber, punca kontrak Pos Rider ditamatkan
Next post SOP Jumaat: 250 jemaah di masjid JAIM, 100 di masjid kariah dan institusi
Ubah saiz-+=