Orang Merlimau puas dapat beraya

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MERLIMAU 5 Mei – Sekumpulan lelaki berpakaian seperti hulubalang yang menyambut tetamu memeriahkan lagi sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di sini, malam tadi.

Selain itu deretan gerai menyediakan pelbagai hidangan seperti sate, nasi beriani, lemang dan ketupat menghilangkan rasa penat tetamu terpaksa berjalan jauh akibat sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar DUN Merlimau.

ORANG ramai beratur mengambil makanan disediakan

Bagi Siti Norhapizah Jamaluddin, melihat kemeriahan dan jumlah pengunjung yang ramai membuatkan dia berasa amat gembira kerana sudah lama tidak merasai suasana seperti itu.

“Masuk sahaja pekan Merlimau aliran trafik sudah mula perlahan, bila sampai sukar untuk mencari parkir dan terpaksa beratur menunggu giliran untuk mengambil makanan.

“Namun semangat saya untuk beraya tidak pernah pudar, memang saya rindukan suasana meriah seperti ini.

“Cuma pesanan saya kepada semua, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri dan berkunjung ke rumah terbuka jangan lupa patuhi prosedur operasi standard (SOP), utamakan kesihatan anda,” katanya.

Sementara itu bagi penuntut Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Johor, Muhammad Daniel Putra Shahrullnizam sambutan Aidilfitri tahun ini dianggap paling meriah.

“Sebelum ini Aidilfitri disambut di rumah bersama ahli keluarga atau sanak saudara yang tinggal berhampiran kediaman sahaja.

“Paling menggembirakan saya adalah peluang menjamah pelbagai jenis makanan disediakan,” katanya.

KETUA Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop turut hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka

Selain penduduk sekitar rumah terbuka anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir adalah Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Melaka bersedia jika berlaku peningkatan kes COVID-19 – Dr Muhamad Akmal
Next post Op Pagar Laut: Dua bot nelayan Vietnam ditahan pada 1 Syawal
Ubah saiz-+=