Orang ramai dinasihati waspada panggilan palsu menyamar pegawai MCMC

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mendakwa orang dihubungi telah melakukan kesalahan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peringatan itu susulan pihaknya menerima aduan daripada seorang pengadu yang telah menerima panggilan daripada individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memberitahu bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.

“Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

“Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak suruhanjaya,” menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan suruhanjaya itu lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang atau platform media sosial MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian.

Sehubungan itu, orang ramai digesa untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali dan segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post 1,958 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dipindahkan ke PPS
Next post Masih ada pengusaha restoran degil di Melaka – KPDNHEP
Ubah saiz-+=